Pemuda PAS kecam rejim Sisi bunuh 9 anggota Ikhwan

NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ | .

 

"Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun.” (Surah al-Ahzab: 23)

Dewan Pemuda PAS Malaysia mengecam tindakan polis di bawah rejim As-Sisi yang telah membunuh 9 pejuang Ikhwan Muslimin di Mesir awal pagi tadi.

Tindakan itu bukan sahaja melampaui batas, malah ia juga mencemarkan kemuliaan bulan Ramadhan. Sikap mereka tidak ubah sepertimana Zionis yang pernah menyerang umat Islam Palestin pada bulan Ramadhan tahun lalu.

Dewan Pemuda PAS Malaysia menganggap isu ini menjadi semakin serius dan tidak terkawal. Rejim pemerintah dilihat sewenang-wenangnya menggunakan segala jentera yang ada untuk membalas dendam terhadap Ikhwan Muslimin sekaligus menghapuskan perjuangan Islam di Bumi Anbiya itu.

Dewan Pemuda PAS Malaysia ingin menegaskan bahawa biarpun ribuan pejuang Islam dibunuh oleh rejim As-Sisi, namun mereka tidak akan sesekali mampu mematikan cahaya perjuangan Islam walau sekelumit kecil yang akan sentiasa menyinari bumi Mesir sehingga hari kiamat.

Dewan Pemuda PAS Malaysia juga berdoa agar pejuang Islam yang terbunuh pagi tadi termasuk dalam kalangan para syuhada' yang dijanjikan Allah Taala dengan syurga yang terbentang luas.

Semoga ia menjadi inspirasi kepada seluruh para pejuang Islam termasuk PAS untuk terus istiqamah memperjuangkan Islam di Malaysia. - HARAKAHDAILY 2/7/2015

Penulis ialah Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Share on Myspace