Projek Budiman: Pemuda PAS bina 16 rumah kekal

ASLANI M | .

KUALA KRAI: Kepemimpinan baru Dewan Pemuda PAS Malaysia meneruskan komitmen Projek Rumah Budiman bagi membantu mangsa banjir di Kelantan.

Ketuanya, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, program itu hasil gandingan Pemuda PAS Malaysia dengan kerjasama Dewan Pemuda PAS Kelantan.

Katanya, Pemuda PAS telah menyiapkan pembinaan lima rumah kekal dan telah diserahkan kepada pemiliknya.

“Dua lagi rumah sedang dalam pembinaan dan dijangka dapat diduduki menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

“Manakala tiga lagi dijangka disiapkan selewat-lewatnya Ogos hadapan. Enam yang dilancar hari ini dijangka mengambil masa dua bulan untuk disiapkan,” katanya pada program pra penyerahan kunci rumah kekal kepada pemiliknya di Jalan Gaele di sini.

Hadir sama pada program tersebut Timbalan Ketua Pemuda Malaysia, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi, Naib Ketua Pemuda Khairil Nizam Khirudin, Ketua Pemuda Selangor Ustaz Syarhan Humaizi Halim dan Ketua Pemuda PAS Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari.

Selain itu Pengerusi Lajnah Kebajikan & Prihatin Rakyat Ustaz Hishamuddin Abdul Karim dan Penyelaras Projek Rumah Budiman Nazman Che Iberahim.

Projek Rumah Budiman sebelum ini digerakkan Suhaizan Kaiat ketika menerajui dewan berkenaan. - HARAKAHDAILY 2/7/2015

Share on Myspace