Serangan terhadap pejuang Ikhwan sangat kejam

NASRUDIN HASSAN | .

(وَلَا تَقُولُوا لِمَنْ يُقْتَلُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ أَمْوَاتٌ ۚ بَلْ أَحْيَاءٌ وَلَٰكِنْ لَا تَشْعُرُونَ)

"Dan janganlah kamu mengatakan orang-orang yang terbunuh di jalan Allah (mereka) telah mati. Sebenarnya (mereka) hidup tetapi kamu tidak menyedarinya". (Surat Al-Baqarah: 154)

Tindakan polis di bawah kerajaan kudeta Mesir yang telah membunuh 9 orang pejuang Ikhwan Muslimin dalam satu serbuan di sebuah bangunan di Bandar Sittah Oktober, Kaherah adalah sangat kejam dan tercela.

Serangan tersebut dikatakan sebagai tindak balas terhadap pembunuhan Peguam Negara Mesir Hisyam Barakat. Ia sangat melampaui batas kemanusiaan. Sikap mereka tidak ubah sepertimana Zionis yang sentiasa dahagakan darah umat Islam.

Isu ni perlu dipandang serius oleh seluruh dunia Islam kerana rejim pemerintah dilihat menggunakan angkatan tentera dengan sewenang-wenangnya dalam usaha menghapuskan gerakan Islam tersebut. Melaksanakan pemerintahan kuku besi, diktator, membunuh rakyat awam, jelas melanggari hak kemanusiaan.

Biarpun ribuan pejuang Ikhwan Muslimin dibunuh oleh musuh-musuh Allah, namun mereka tidak akan sesekali mampu memadamkan api perjuangan Islam di bumi Anbiya' tersebut.

Allah menegaskan: (يُرِيدُونَ لِيُطْفِئُوا نُورَ اللَّهِ بِأَفْوَاهِهِمْ وَاللَّهُ مُتِمُّ نُورِهِ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ)

"Mereka hendak memadamkan cahaya (agama) Allah dengan mulut (ucapan-ucapan) mereka, Tetapi Allah tetap menyempurnakan cahayaNya meskipun orang-orang kafir membencinya". (Surat As-Saff: 8)

Sehubungan itu, PAS melahirkan rasa terkilan yang teramat sangat apabila ada segelintir ulama al-Azhar yang bersekongkol dengan rejim As-Sisi dalam usaha mengharamkan Ikhwan Muslimin.

Tindakan mereka tersebut akan memburukkan imej Al-Azhar selaku institusi pengajian tertua di dunia.

Justeru itu, negara-negara Islam khususnya Malaysia digesa mengambil tindakan berkesan ke atas Mesir, sebagai salah satu usaha untuk menekan kerajaan haram ini.

Marilah kita berdoa agar pejuang Islam yang terbunuh dalam serangan tersebut, tergolong dari kalangan syuhada serta mendapat ganjaran terbaik di sisi Allah SWT.

Semoga Allah kurniakan kepada kita sifat thabat dan istiqamah di atas perjuangan, sebagaimana yang telah dibuktikan oleh pejuang Ikhwan Muslimin. - HARAKAHDAILY 3/7/2015

Share on Myspace