Amalan 'kau garuk belakang aku' berterusan zaman Najib

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: "Saya tidak mengulas secara khusus skandal pembelian hartanah oleh Majlis Amanah Rakyat (Mara) di Australia kerana bagi saya ia tidak sedikit pun memeranjatkan," tulis Datuk A Kadir Jasin.

Lagipun, menurut Tokoh Wartawan Negara itu, kes itu masih berjalan dan lebih banyak hal didedahkan.

Yang terbaru Pengerusi Mara Incorporated, Mohammad Lan Allani dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Abd Halim A. Rahim digantung jawatan dan firma audit PWC dilantik bagi menyemak pembelian harta oleh Mara Inc.

"Cuma saya berdoa dakwaan ini tidak betul. Tetapi jika ditakdirkan betul maka kita semua rugi sekali lagi kerana kitalah mangsa mutakhir pengkhianatan amanah ini," tulis beliau dalam blognya bertajuk Mara Dalam Jangkitan Sistemik.

Baginya, selepas 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak ada apa lagi yang memeranjatkan, mustahil dan luar biasa.

Tambahnya, 1MDB mencetuskan piawaian dan tanda aras baru urus niaga dan urus tadbir syarikat dan agensi berkaitan kerajaan.

"Ini cerita bapa borek anak rintik. Kata orang Johor, 'engkau garuk belakang aku, aku garuk belakang engkau' atau kata orang putih, birds of a feather flock together – burung yang sama bulunya berkumpul bersama," ulasnya lagi.

Menurutnya, inilah bahana apabila orang yang berkuasa berasa bahawa kuasa menghalalkan segala-galanya, atau apabila orang yang berkuasa terlalu banyak makan budi dan ada rangka-rangka bergantungan dalam almari.

"Bukan rahsia lagi. Banyak orang tahu dan lagi banyak dengar apa yang berlaku ketika peralihan kuasa daripada Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi pada penghujung tahun 2003," tambahnya.

Menurutnya, mereka tahu dan dengar mengenai fail-fail segar Badan Pencegah Rasuah (SPR/ACA) – kini Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (PSRM/MACC) - yang diserahkan oleh Dr Mahathir kepada Abdullah.

Katanya, mereka tahu dan dengar bagaimana kandungan fail-fail itu tidak diambil tindakan sebaliknya digunakan untuk mengukuhkan kedudukan politik orang tertentu.

"Beberapa watak dalam fail-fail ACA itu bukan sahaja tidak didakwa malah diberi habuan lumayan dengan syarat mereka menyokong pentadbiran baru," ujarnya.

Katanya, amalan “engkau garuk belakang aku, aku garuk belakang engkau” berterusan ke zaman Mohd Najib Abdul Razak apabila individu-individu yang dihukum dan disingkir oleh Umno pada era Abdullah kerana politik wang kembali dimuliakan dan diberi kuasa luar biasa kerana mereka tahu what you did last summer.

"Jadi apa yang berlaku (atau dituduh berlaku) di 1MDB, Mara, Felda, Felda Global Ventures (FGV) Berhad, Tabung Haji, Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Pembinaan PFI Sdn Bhd, SRC International dan mungkin banyak lagi tidak langsung memeranjatkan saya," ujarnya lagi. - HARAKAHDAILY 3/7/2015

Share on Myspace