1MDB: Najib, isteri perlu segera isytihar harta

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Dakwaan terkini oleh media antarabangsa Wall Street Journal bahawa ada dana 1MDB bernilai berbilion ringgit telah disalurkan kepada akaun peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memerlukan perhatian segera.

Pada tahap ini, penafian melalui kenyataan Najib, 1MDB, polis mahupun Putrajaya sudah tidak mencukupi untuk menghalang persepsi negatif daripada merebak berterusan terhadap imej Najib, dan Malaysia khususnya apabila pada masa yang sama imej kepimpinan negara turut terjejas di dalam skandal Mara.

"PAS menggesa Najib untuk mengambil langkah strategik iaitu melakukan pengisytiharan harta, hutang, pendapatan dan perbelanjaan beliau bersama isterinya untuk membersihkan nama segera," ujar Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Katanya, bank-bank yang dinamakan perlu dijadikan saksi dalam pengisytiharan harta itu supaya ia nampak telus dan berwibawa.

"Langkah mengisytaharkan harta ini dilihat jauh lebih efektif untuk menangkis tuduhan terhadap Najib pada kali ini," ujarnya dalam satu kenyataan.

Katanya lagi, Ketua Polis Negara juga tidak dapat membantu lagi dalam keadaan ini kerana imej beliau sudah terjejas apabila Mara sendiri meneruskan siasatan terhadap skandal pembelian aset oleh Mara Inc di Australia dan United Kingdom dengan merehatkan tugas dua pegawai tertinggi Mara Inc sejurus Tan Sri Khalid Abu Bakar mengisytiharkan tiada unsur pecah amanah oleh Mara.

Justeru, tambahnya PAS mencadangkan agar Putrajaya menpercepatkan sidang PAC dengan pegawai tertinggi dengan 1MDB dengan segera.

Menurutnya, jika 1MDB tiada masalah besar yang mencurigakan, sudah tentu PAC tidak akan menjumpai apa-apa masalah.

"Ini adalah medan terbaik Najib dan 1MDB membersihkan diri dan menutup para pengkritiknya," katanya.

Sehingga itu berlaku, ujar beliau Putrajaya dinasihatkan jangan memburukkan keadaaan lagi dengan tindakan-tindakan yang mencurigakan seperti menjadikan Laporan Interim Terhadap Pengauditan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) sebagai laporan ekslusif dan bukannya untuk pandangan awam, menuntut penjelasan daripada The Edge daripada menjawab persoalan-persoalan yang dibangkitkan mengenai 1MDB, cubaan membuang Ahli Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dan juga perbezaan ketara tindakan agensi kerajaan bertindak terhadap tuduhan terhadap 1MDB dan juga mereka yang menuduh 1MDB. - HARAKAHDAILY 3/7/2015

Share on Myspace