Dakwaan WSJ: Najib boleh meringkuk dalam penjara

HUSAM MUSA | .

Hari ini Jumaat 16 Ramadhan, adalah masa terbaik untuk Datuk Seri Najib Razak membuat penafian terbuka terhadap dakwaan terbaru ke atasnya oleh Wall Street Journal (WSJ) dan Sarawak Report (SR).

Kelambatan penafian hanya akan mengukuhkan dakwaan itu.

Penafian oleh pengurusan 1MDB tidak memadai. Ia lebih sebagai satu helah sementara. Memang pun dalam laporan WSJ dan SR tidak ada disebutkan kemasukan wang ke dalam akaun peribadi Najib datang langsung dari akaun 1MDB.

Oleh itu, DS Najib tidak boleh berlindung di belakang penafian 1MDB.

Jika wang itu tidak pernah diterima oleh Najib, akaun yang diperincikan nombornya, nama bank dan nama pemegangnya adalah tidak benar sama sekali, tidaklah satu perkara yang sukar untuk dinafikan.

Satu perenggan penafian sudah mencukupi.

Dakwaan ini adalah sangat serius. Ia bukan sahaja boleh menyebabkan DS Najib kehilangan jawatan PM bahkan akan meringkuk di dalam penjara.

Tiada sebab untuk beliau tidak mengeluarkan penafian segera.

Penafian segera adalah langkah pertama, disusuli pendedahan atau paling kurang pemeriksaan oleh Bank Negara ke atas akaun yang di dakwa untuk meyakinkan rakyat beliau benar-benar bersih.

Jika tidak, lupakan saja cadangan rombakan kabinet.

Bagi pihak yang cuba bernaung di bawah lindungan Najib, pastikan anda tidak bergayut di dahan yang rapuh.

Bulan Ramadhan dan Jumaat yang berkat patut digunakan oleh DS Najib untuk membersihkan nama beliau. - HARAKAHDAILY 3/7/2015

Penulis ialah Adun Salor.

Share on Myspace