Kami tidak tahu nasib ibu bapa kami - pelarian Rohingya

MUHAMMAD FAEEZ AZAHAR | .

ACHEH: "Kami tidak tahu nasib ibu bapa kami di Myanmar."

Demikian luahan seorang pelarian Rohingya yang kini berada di Pusat Perlindungan Pelarian Rohingya, Acheh Indonesia.

Hafizullah Rahman, 21, berkata, beliau bersama ratusan yang lain telah menaiki kapal keluar dari negara kelahiran mereka selepas diusir dan diancam oleh tentera negara itu.

Menurutnya, sejak beliau dan ribuan yang lain keluar daripada negara itu, perkhabaran tentang ahli keluarganya tidak dapat diketahui.

Beliau tidak tahu keadaan ibu bapanya sama ada masih hidup atau dibunuh mahupun dizalimi.

Menceritakan pengalamannya dalam detik sukar di perairan, beliau berkata, ke semua pelarian terpaksa berhimpit di dalam sebuah kapal yang sangat usang.

Hatta ujarnya, sepanjang perjalanan itu, mereka tidak mempunyai bekalan makanan dan ramai daripada mereka berada dalam keadaan kebuluran.

"Kami diselamatkan oleh nelayan di perairan Acheh dan mereka membawa kami ke daratan.

"Saya berasa syukur apabila berjaya menyelamatkan diri walaupun sedih meninggalkan negara saya sendiri," katanya ketika ditemui Harakahdaily ketika menyertai misi kemanusiaan yang dianjurkan oleh South East Asian Regional Assembly of Muslim Youth (Sarmy), kelmarin.

Beliau mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak kerajaan Acheh dan Indonesia kerana memberi kebenaran untuk mereka masuk ke negara itu untuk menyelamatkan diri.

Hafizullah adalah antara pelarian yang menghafaz Al-Quran bersama tiga orang yang lain dan kini menjadi antara tenaga pengajar di pusat pelarian itu.

Sementara itu, Pengerusi Sarmy, Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss berkata, pihaknya sedang merangka pelbagai program dan strategi dalam mengumpul dana kewangan untuk disalurkan kepada etnik yang dizalimi itu.

Menurutnya, sumbangan daripada orang ramai sangat diperlukan dalam membiayai kos pengoperasian pusat perlindungan itu terutama makanan harian mereka.

"Kalau kita lihat hari ini, pembinaan rumah-rumah sementara untuk didiami oleh pelarian ini masih giat dijalankan.

"Kami dimaklumkan oleh pihak pengurusan bahawa dana masih belum mencukupi dalam menyiapkan rumah atau bilik untuk dijadikan tempat mereka berteduh," katanya ketika ditemui semasa melawat serta menyampaikan bantuan di pusat perlindungan.

Raja Iskandar menyeru seluruh masyarakat khususnya umat Islam agar menjadi insan peduli dengan bersama-sama berusaha mengumpul dana untuk disalurkan kepada saudara seagama yang sedang dalam kesusahan itu.

"Pelbagai usaha kita boleh lakukan, dan pihak kami (Sarmy) sedang memfokuskan usaha membantu nasib etnik ini," ujarnya.

Bagi yang ingin menghulurkan bantuan, boleh terus disalurkan melalui Bank Islam: 08086020134552 atau terus hubunginya di talian 0194331777. - HARAKAHDAILY 3/7/2015

Share on Myspace