Saman: Mahkamah Rayuan terima rayuan Syed Azman

JOCELYN ANN DRAGON | .

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini hari ini mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi memberikan ganti rugi RM200,000 kepada bekas Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said selepas beliau memfailkan saman terhadap wakil rakyat PAS dan tiga yang lain kerana memfitnah.

Panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Lim Yee Lan dalam keputusan sebulat suara membenarkan rayuan yang dikemukakan Anggota Dewan Undangan Negeri Batu Buruk Dr Syed Azman Syed Ahmad, pemilik permit Harakah Daily Datuk Mustafa Ali, serta ketua pengarang akhbar itu Ahmad Lutfi Othman dan penerbitnya, Angkatan Edaran Enterprise Sdn Bhd.

Mahkamah juga mengarahkan Ahmad membayar RM15,000 sebagai kos.

Panel itu turut dianggotai Hakim Datuk Varghese George Varughese dan Datuk P. Nalini.

Penghakiman bertulis setebal 31 muka surat itu dibacakan oleh Varghese dan beliau berkata keputusan yang dibuat oleh Hakim Mahkamah Tinggi Rosilah Yop yang menyatakan niat jahat telah dibuktikan, adalah cacat dan wajar bagi Mahkamah Rayuan untuk campur tangan.

Pada 15 Dis 2011, Ahmad serta dua peniaga, Mek Hawa Abdul Rahman dan Hamie Azreen Ami Nordin, yang mendapat kontrak membekal uniform sekolah serta alat tulis, memfailkan saman terhadap keempat-empat defendan.

Dalam pernyataan tuntutan itu, mereka mendakwa Syed Azman memfitnah mereka menerusi artikel bertajuk 'Seleweng RM30 juta Bantuan Sekolah' yang disiarkan Harakah dalam isu bertarikh 11 hingga 13 Nov 2011.

Mereka menuntut ganti rugi am, ganti rugi khas, ganti rugi teruk serta ganti rugi teladan selain kos dan perintah injunksi bagi menghalang defendan daripada terus menyiarkan fitnah berkenaan.

Pada 28 Feb 2014, Mahkamah Tinggi membenarkan tuntutan Ahmad tetapi menolak tuntutan Mek Hawa dan Hamie Azreen atas alasan kedua-dua plaintif gagal membuktikan kes mereka terhadap defendan. Kedua-dua mereka tidak mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan.

Peguam Ashwida Abd Samad mewakili perayu manakala Ahmad diwakili peguam Helmi Hamzah dan Mohd Rosly Khady Mohd Ayub Khan.

Helmi berkata beliau akan mendapatkan arahan anak guamnya sama ada membawa kes itu ke Mahkamah Persekutuan. - Bernama

Share on Myspace