Dakwaan WSJ: Najib saman atau lepas jawatan

MUHAMMAD FAIZAL | .

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak digesa menyaman Wall Street Journal (WSJ) berikutan laporan yang mendakwa beliau telah mengambil wang dari 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebanyak USD700 juta.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata, artikel tersebut telah memalukan nama baik Malaysia dan Najib harus bertindak segera untuk membersihkan namanya dan juga negara.

"Saya dengan tegas mewakili rakyat Malaysia meminta Perdana Menteri mengambil tindakan undang-undang terhadap WSJ.

"Ini melibatkan maruah negara, jika Najib tidak mahu saman, saya gesa Najib segera melepaskan jawatan bagi membolehkan satu siasatan bebas dibuat," katanya.

Menurut beliau, Najib perlu membersihkan namanya daripada dakwaan WSJ yang menuduh beliau sebagai perompak.

"Adakah dakwaan WSJ itu benar ataupun tidak Najib perlu bertindak, laporan tersebut menggambarkan Najib terlibat secara langsung dalam kegiatan songlap wang sebanyak USD700 juta?

"Demi untuk menjaga maruah negara, saya meminta agar PDRM, SPRM dan Bank Negara segera menubuhkan satu task force bersama bagi menyiasat dakwaan tersebut.

"Dakwaan ini amat serius seolah-olah menggambar Perdana Menteri seorang penyamun, Ketua Polis Negara, Pesuruhjaya SPRM dan Gabenor Bank Negara perlu jalankan tanggungjawab demi menjaga maruah negara dan bukannya memihak kepada Perdana Menteri," katanya lagi.

Beliau turut meminta agar Speaker Dewan Rakyat segera memanggil persidangan Khas Parlimen bagi membahas perkara itu dan membawa usul kepada Yang di-Pertuan Agong agar ditubuhkan satu suruhanjaya diraja bagi mengadakan siasatan. - HARAKAHDAILY 4/7/2015

Share on Myspace