Najib mesti saman WSJ jika dakwa dirinya tidak bersalah

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Susulan pendedahan Wall Street Journal (WSJ) dan Sarawak Report yang mengaitkan perpindahan wang 1MDB berjumlah USD700 juta ke akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, pihak 1MDB sendiri, pejabat Perdana Menteri (PMO) dan tokoh-tokoh politik Umno BN telah tampil memberi respons.

"Namun respons mereka terus menimbulkan persoalan," kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasrudin Hassan dalam satu kenyataan.

Beliau membangkitkan empat persoalan berhubung perkara itu.

* Dalam satu kenyataan, pihak 1MDB menegaskan bahawa tiada wang syarikat tersebut yang digunakan untuk tujuan peribadi PM.

* Namun perlu dibezakan isu pengaliran wang ke akaun peribadi dan penggunaan wang tersebut oleh PM. Apa yang pasti 1MDB masih tidak membuat sebarang penafian khusus (categorical denial) bahawa wang tersebut benar-benar masuk ke akaun Ambank PM seperti yang didakwa.

* 1MDB juga mengingatkan bahawa banyak dokumen yang digunakan untuk memburukkan 1MDB adalah meragukan. Kenyataan ini pastilah merujuk kepada kes Xavier Justo yang ditahan pihak berkuasa Thailand kerana didakwa memalsukan dokumen berkaitan transaksi 1MDB dan Petrosaudi.

* Namun pendedahan WSJ secara khusus merujuk dokumen penyiasatan dari penyiasat Malaysia. Maknanya sumber maklumat ini bukannya dari luar negara tetapi dari dalam negara sendiri.

Tambahnya, pejabat Perdana Menteri (PMO) dan tokoh politik Umno BN seperti Datuk Abdul Rahman Dahlan segera menyifatkan pendedahan media sebagai sabotaj politik dan gutter journalism (kewartawanan longkang).

"Sekiranya itulah kesnya maka tiada cara lain untuk menjernihkan keadaan kecuali dengan segera menyaman pihak WSJ dan Sarawak Report serta bagi PM dan keluarganya membuat deklarasi harta," ujarnya yang juga Ahli Parlimen Temerloh. - HARAKAHDAILY 4/7/2015

Share on Myspace