Segera selesai kes cerai untuk keadilan semua pihak

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Pendaftaran kes perceraian pasangan beragama Islam di Selangor meningkat daripada 19,932 kes pada 2013 kepada 22,230 kes pada tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu dan Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi negeri, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, keadaan itu cabaran besar perlu dihadapi JAKESS sebagai jabatan mentadbir mahkamah syariah negeri itu.

“Cabaran menyegerakan penyelesaian dan perbicaraan kes bagi memberi keadilan kepada semua pihak dan menjamin perkhidmatan terbaik, cepat, efektif dan efisien," ujarnya ketika merasmikan Majlis Pelancaran Proses Kerja ‘kes cerai fast track’ di Bangunan Mahkamah Syariah Sultan Idris Shah, Shah Alam semalam.

Katanya, difahamkan kes pendaftaran tertinggi adalah kes melibatkan pembubaran perkahwinan termasuk kes tuntutan cerai dengan talak.

“Kes begini sering menuntut penyelesaian segera di mahkamah agar pihak terlibat tidak teraniaya dan dapat memulakan hidup baru,” katanya dipetik SelangorKini.

Jelasnya lagi, projek ‘Key Focus Activities’ dilaksanakan JAKESS itu memberi fokus kepada usaha mempercepatkan penyelesaian kes perceraian di bawah seksyen 47 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

Beliau dimaklumkan kajian mendalam melibatkan pelbagai pihak dijalankan terlebih dahulu sebelum ‘fast track perceraian’ diwujudkan.

“Usaha itu selaras hasrat dan titah Sultan Selangor yang mengharapkan JAKESS berusaha menyegerakan penyelesaian kes di Mahkamah Syariah terutamanya bagi kes pembubaran perkahwinan,” kata beliau lagi.

Share on Myspace