Kerajaan zalim walaupun lama berkuasa akan hancur

USTAZ DATUK AHMAD YAKOB | .

Tadabur Al-Quran pada hari ini akan membincangkan beberapa pengajaran ayat dalam surah Al-Anbiya' dan surah Al-Hajj.

Allah membuka lembaran surah yang membincangkan perjuangan para Nabi iaitu surah Al-Anbiya' dengan gambaran sikap kuffar yang mempermainkan ayat-ayat Allah setiap kali diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW.

Mereka mengatakan bahawa ianya adalah mainan mimpi Nabi Muhammad semata-mata. Allah mengingatkan bahawa sudah berapa banyak negeri yang telah dihancurkan akibat pendustaan keatas para Rasul utusan-Nya, maka takutilah dengan kuasa Allah yang pantas membalas pencabulan terhadap agama-Nya.

Manusia diciptakan dengan tabiatnya yang tergesa-gesa. Lebih malang, apabila mereka terlampau mengagung-agungkan akal fikiran yang mengakibatkan mereka tergesa-gesa dalam menolak ketetapan Allah.

Manusia perlu menyelidiki dan menghayati sepenuhnya ajaran Islam supaya tidak menjadi golongan yang menentang kembali agama mereka.

Dalam surah ini, Allah telah membawakan kisah perjuangan para anbiya' seperti Nabi Ibrahim, Musa, Harun, Luth, Ishak, Yakob, Nuh, Daud, Sulaiman, Ayub, Ismail, Idris, Zulkifli, Yunus dan Yahya yang kesemua mereka membawa ajaran tauhid supaya menyembah Allah dan meninggalkan segala sembahan lain.

Agama tauhid ini adalah agama yang satu termasuk yang dibawa oleh junjungan besar Nabi Muhammad SAW adalah rentetan daripada agama yang dibawa oleh para anbiya' terdahulu.

Allah turut menegaskan bahawa muka bumi ini hanya akan diwarisi oleh golongan yang soleh iaitu yang mentaati segala perintah Allah pada setiap zaman. Kerajaan zalim walaupun dalam tempoh yang lama mereka berkuasa, namun akan hancur juga akhirnya.

Oleh kerana itu, Allah mengingatkan manusia agar takutilah ancaman siksaan-Nya di akhirat kelak kerana zalzalah atau gegaran sebelum ke akhirat sudahpun berat untuk manusia hadapinya.

Umat Islam diseru agar mempastikan diri menjadi orang yang tetap pendirian dan elakkan diri daripada sikap nifak yang hanya menempah kemurkaan Allah sebagaimana dinyatakan di awal surah Al-Hajj.

Dalam surah Al-Hajj ini juga dinyatakan tentang arahan Allah kepada Nabi Ibrahim agar menyeru kaumnya mengerjakan haji dan Allah akan sampaikan seruan itu sehingga mereka akan datang dari seluruh pelosok dunia.

Kerja manusia hanya menyeru kepada kebenaran berdasarkan kudrat yang dimiliki dan Allah sahaja yang berkuasa memberi kemenangan kepada perjuangan dakwah tersebut.

Dalam juz ini, Allah turut memberi motivasi kepada para penegak kebenaran bahawa kadangkala kebenaran yang dibawa akan didustai oleh pihak musuh.

Di kala ditipu oleh mereka, jangan mudah mengalah dan mula lemah semangat, ingatlah perjuangan para anbiya' dahulupun mereka juga turut ditipu oleh kaum mereka namun agenda kebenaran akhirnya terserlah dan berjaya. - HARAKAHDAILY 4/7/2015

Share on Myspace