1MDB: Rakyat mahu tindakan tegas libatkan integriti PM

MOHD PRASAD HANIF | .

Merujuk kepada laporan portal The Wall Street Journal bertarikh 2 Julai 2015 yang bertajuk “Investigators Believed Money Flowed to Malaysian Leader Najib’s Account Amid 1MDB Probe”. Laporan berita ini ditulis oleh jurnalis Tom Wright dan Simon Clark.

Kedua-dua jurnalis ini mendakwa bahawa The Wall Street Journal telah menerima dokumen-dokumen siasatan ke atas 1MDB. Laporan tersebut mendedahkan bahawa terdapat beberapa aliran transaksi tunai berjumlah USD700 juta atau RM2.6 bilion telah berlaku di antara beberapa syarikat milik kerajaan yang akhirnya didepositkan ke dalam akaun AmIslamic Bank cawangan Kuala Lumpur di bawah nama Datuk Seri Mohd Najib Abd Razak.

Keseluruhan rakyat Malaysia, khususnya rakyat Negeri Selangor, merasakan bahawa dakwaan tersebut amat berat dan ia telah tersebar luas dalam media atas talian. Dakwaan tersebut menyentuh penyaluran wang rakyat ke akaun peribadi. Ia bukan semata-mata mencalar integrity Perdana Menteri Malaysia tetapi juga mencemarkan reputasi Malaysia di kaca mata dunia.

Lebih-lebih lagi, WSJ telah mendakwa di dalam artikel ini dan juga artikel bertarikh 18hb Jun bahawa dana 1MDB telah digunakan untuk membiayai Pilihan raya Umum ke-13 yang lepas. Ini jelas melibatkan bukan sahaja Datuk Seri Najib Tun Razak tetapi juga Umno dan Barisan Nasional keseluruhan. Persoalan yang bangkit adalah berapa banyak dana tersebut dan wang rakyat yang telah digunakan untuk membiayai kempen-kempen politik Umno dan Barisan Nasional?

Sehingga kini, pihak Pejabat Perdana Menteri, mahupun pihak 1MDB hanya mengeluarkan kenyataan penafian sahaja tanpa tindakan yang konkrit. Berita dan analisis yang disiarkan oleh The Edge baru-baru ini tidak dijawab secara telus, malah diberi amaran dan pemilik The Edge, Tong Kooi Ong disiasat. Begitu juga isu Sarawak Report dan dakwaan Xavier Andre Justo yang masih tidak dijawab sehingga kini.

Rakyat telah memberikan “responsibility” dan “authority” untuk mentadbir dana negara. Kini, rakyat menuntut “accountability” bukannya menyapu isu tersebut di bawah karpet. Ingatlah pesanan Rasulullah s.a.w. ”Setiap dari kalian adalah pemimpin, dan tiap-tiap pemimpin akan dimintai pertanggungjawabannya.”

Rakyat makin gelisah kerana jumlah yang dipersoalkan bukanlah kecil. Dengan kos kehidupan yang makin meningkat, ketirisan dan kebocoran di dalam urusniaga kerajaan yang tidak dibendung akan menghancurkan ekonomi Negara dan masa depan rakyat Malaysia. Rakyat tidak mahu lagi penafian. Mereka mahu tindakan yang jelas, konkrit dan memaparkan integriti tertinggi dan bukannya kenyataan sombong dan angkuh dari pimpinan Umno dan Barisan Nasional.

“Without virtue the republic is an empty shell and its strength becomes merely the power of a few citizens and the licence of all” - Montesquieu

Sehubungan itu, PAS Selangor mewakili seluruh rakyat negeri Selangor menggesa dan menuntut:

1. Pihak Perdana Menteri Malaysia mengambil tindakan konkrit untuk membersihkan nama beliau dan juga reputasi Negara dengan menyaman Wall Street Journal serta wartawan-wartawan yang terlibat. Tindakan ini akan menghantar satu signal yang jelas bahawa reputasi Malaysia tidak diperkotak-katikkan.

2. Tidak cukup sekadar itu, adalah suatu yang sangat dituntut ketika ini untuk Perdana Menteri Malaysia mengishtiharkan asetnya di dalam dan di luar negeri. Tindakan yang sama juga harus dilakukan oleh isterinya Datin Seri Rosmah Mansur yang terpalit dengan aktiviti boros berbelanja berbanding dengan isteri-isteri pemimpin negara sebelum ini.

3. Bank-bank yang terlibat terutamanya AmIslamic Bank mengambil tindakan undang-undang terhadap Wall Street Journal sekiranya apa yang didakwa itu tidak benar. Ketelusan pengurusan bank-bank yang dikaitkan oleh WSJ perlu diperjelaskan. Tanpa penerangan dan pencerahan dari pihak-pihak yang terkait ini, reputasi mereka tercalar dan rakyat akan hilang keyakinan terhadap institusi tersebut.

4. Pemimpin Umno dan Barisan Nasional agar bertanggungjawab dan amanah. Mereka digesa agar jangan bersikap khianat dalam mengendalikan tugas, tidak menipu dan menyalahgunakan jawatan. Rakyat mahukan penjelasan berkenaan dakwaan penggunaan wang rakyat untuk kempen PRU-13. Sekiranya dakwaan itu tidak benar, maka Umno dan Barisan Nasional juga harus mengambil tindakan undang-undang terhadap WSJ.

5. Pihak polis segera melakukan siasatan terhadap Perdana Menteri dengan sokongan daripada bahan-bahan bukti yang diperolehi daripada The Wall Street Journal.

Rakyat mahukan tindakan tegas ekoran daripada pelbagai pendedahan yang dibuat ke atas skandal kewangan 1MDB yang bukan sahaja melibatkan integriti Perdana Menteri tetapi wang rakyat dan reputasi Malaysia keseluruhannya. - HARAKAHDAILY 4/7/2015

Penulis ialah Ketua Penerangan PAS Negeri Selangor.

Share on Myspace