Najib digesa bersihkan nama daripada tuduhan WSJ

HARAKAHDAILY | .

Dakwaan yang terlalu serius terhadap Perdana Nenteri Malaysia YAB Datuk Seri Najib Razak dengan pendedahan Wall Street Journal (WSJ) yang bukan satu institusi media yang calang-calang di dunia mendakwa sebanyak AS$700 juta wang dipindahkan daripada satu badan dana wang dikatakan bahawa ia adalah dana 1MDB ke akaun milik peribadi Najib Razak.

Setakat hari ini 1MDB masih belum dapat dijernihkan dengan beberapa isu yang dipalitkan ke atasnya malah datang pula pendedahan baru yang amat memeranjatkan dunia kewangan dan sejarah kerajaan serta jawatan Perdana Menteri Malaysia apabila Najib Razak sendiri telah didakwa mempunyai dengan dana 1MDB itu.

Pendedahan ini memburukkan lagi keadaan suasana politik dalam negara ini ditambah lagi dengan pelbagai isu yang begitu rumit dan serius melibatkan integriti dan amanah besar negara yang kini sedang berada dalam krisis meruncing yang tidak berkesudahan.

Rakyat sudah muak dan letih dengan isu sebegini yang mana di hujungnya tidak satu pun pernah diberikan jawapan yang sewajarnya bahkan disapu di bawah tikar dan katil dan terus dipendamkan begitu sahaja.

Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor melihat pendedahan terbaru ini sebagai satu lagi episod hitam kelabu negara yang membuktikan selama ini bahawa aspek iman dan taqwa serta agama Islam yang dikesampingkan daripada arus perdana politik negara telah meruntuhkan nilai-nilai akhlak dan kepertanggungjawaban.

Ketahuilah kepimpinan rakyat dan negara bukanlah satu kemuliaan tetapi adalah amanah yang menyebabkan penyesalan di hari akhirat nanti. Ini sebagaimana disabdakan oleh Nabi s.a.w. dalam satu hadis:

 وإنها أمانة، وإنها يوم القيامة خزي وندامة، إلا من أخذها بحقها وأدى الذي عليه فيها

".. Sesungguhnya jawatan itu adalah amanah, dan sesungguhnya di hari qiamat adalah kerugian dan penyesalan, kecuali sesiapa yang mengambil jawatan itu dengan haknya dan melaksanakan hak yang dipikul ke atasnya..." (Riwayat Muslim)

Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor juga mendesak Perdana Menteri Malaysia YAB Datuk Seri Najib Razak membuat penafian terbuka membersihkan namanya atas dakwaan yang amat berat ini.

Walaupun Pejabat Perdana Menteri telah menafikannya namun penafian sahaja tidak mencukupi malah memerlukan tindakan tegas maka PMO perlu menyaman WSJ atas tuduhannya sekiranya tidak berasas dan fitnah. Sememangnya bukanlah begitu susah untuk melakukannya sekiranya Datuk Seri Najib Razak mengambil berat dan mengutamakan negara dan rakyat daripada kepentingan dirinya sendiri.

Bertaqwalah kepada Allah SWT bahawa kita semua akan dibangkitkan di akhirat kelak dengan membawa segala amalan kita yang tidak lagi dapat kita menutupinya dan tidak dapat kita berselindung lagi. - HARAKAHDAILY 4/7/2015

USTAZ KAMALULHYSHAM SUHUT
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Selangor

Share on Myspace