WSJ dapat maklumat sama dengan Peguam Negara?

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Pengesahan daripada Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail bahawa sememangnya wujud dokumen-dokumen berkaitan 1MDB termasuk dokumen berkaitan dakwaan penyaluran dana ke akaun milik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak daripada Pasukan Petugas Khas, yang dianggotai oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia dan Bank Negara Malaysia lebih menggemparkan daripada laporan Wall Street Journal (WSJ), semalam.

"Persoalan timbul, apakah dokumen sulit yang sama ini menjadi asas kepada laporan WSJ?

"Apakah Peguam Negara juga akan dituduh menyiasat 1MDB berdasarkan info-info palsu yang diledakkan seorang bekas pekerja Petrosaudi seperti yang diwar-warkan?" tanya Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Jika ya, tanya dalam satu kenyataan, apakah Kementerian Dalam Negeri akan memberikan surat tunjuk sebab kepada Peguam Negara.

Namun apapun, ujarnya secara tidak langsung, pengesahan Abdul Gani hari ini telah memberikan kewibawaan kepada laporan Wall Street Journal (WSJ) berbanding penafian Najib.

"Memandangkan Peguam Negara mengesahkan bahawa siasatan sedang dijalankan terhadap kes ini, maka Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak perlu mengambil tindakan bermaruah untuk bercuti dengan serta-merta, agar siasatan dilihat telus dan bebas," ujar beliau lagi.

Bagi beliau, ada positifnya untuk Najib bercuti.

Masa itu, tambah beliau boleh digunakan sebaiknya untuk Najib boleh merancang pendakwaan saman fitnah kepada WSJ, Tun Dr Mahathir, Peguam Negara dan lain-lain yang mengaitkannya dalam skandal 1MDB.

Ini, kata Tuan Ibrahim memandangkan Najib yakin ini adalah angkara sabotaj untuk menumbangkan karier politik beliau.

"Cuba bertanya, bagaimana seorang yang bersih telus boleh disabotaj?" tanya beliau lagi. - HARAKAHDAILY 4/7/2015

Share on Myspace