Tubuh Suruhanjaya Diraja siasat dakwaan WSJ

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Pertubuhan IKRAM Malaysia (Ikram) memandang serius dakwaan akhbar The Wall Street Journal (WSJ) pada 2 Julai dan juga laporan portal Sarawak Report juga pada 2 Julai 2015 tentang aliran kemasukan wang berjumlah RM2.6 billion ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak.

"Sesungguhnya dakwaan tersebut amat berat kerana ia melibatkan bukan sahaja peribadi Perdana Menteri tetapi juga imej dan nama baik negara," kata presidennya, Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad dalam satu kenyataan.

Katanya, laporan dari portal Sarawak Report juga menyebutkan dan melakarkan bagaimana aliran wang tersebut yang dipercayai bersumberkan dari transaksi perniagaan 1MDB yang sedang tenat dengan hutang yang menggunung berjumlah RM41.8 billion.

Sehubungan itu, ujarnya Ikram mengalu-alukan laporan yang menyebut bahawa Najib bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap kedua-dua pihak sambil menafikan bahawa beliau ada menerima dan menggunakan wang tersebut atas kapasiti peribadi.

Bagaimanapun, kata beliau Ikram mencadangkan supaya satu Suruhanjaya Diraja yang diselia di bawah kuasa Yang di-Pertuan Agung yang bersifat bebas dan adil ditubuhkan untuk menyiasat dakwaan yang melibatkan Perdana Menteri tersebut.

"Dengan cara ini, Perdana Menteri dapat membersihkan namanya serta mengembalikan semula keyakinan rakyat terhadap kepimpinan beliau sekiranya dakwaan tersebut terbukti tidak benar," ujarnya. - HARAKAHDAILY 5/7/2015

Share on Myspace