Menterjemah agenda berkebajikan pada Ramadan

IZWAN ABDUL HALIM | .

BERKEBAJIKAN secara konsepnya bermotif agar setiap hak Allah terlaksana dengan menjalankan perintah-Nya serta didayakan pula ke atas manusia lain. Bermakna atas pengakuan kepada keesaan Allah, perbuatan manusia tertakluk menuruti ketetapan-Nya adalah ibadah serta bertanggungjawab atas manusia lain sebagai satu seruan dakwah.

Berbeza dari usaha kebajikan dilaksanakan kebanyakan orang lain hanya atas kemanusiaan atau melibatkan ‘habluminannas’ semata-mata yang dilakukan secara bebas, bermotif keperluan hidup serta mensasar atas pilihan peribagi atau kepentingan kelompok.

Atas asas kefahaman itulah, maka berkebajikan menjadi agenda di dalam gerak kerja dan usaha PAS yang dijunjung sebagai syariat Allah kepada kelompok orang beriman sekaligus melengkapkan ‘habluminallah’ dan ‘habluminannas’.

Menterjemahkan berkebajikan ke medan realiti, Dewan Pemuda PAS Kawasan Baling dipimpin ketuanya, Mohd Roshidi Maarof telah mengadakan Ziarah dan Iftar Jamaie Bersama Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Khairil Nizam Khirudin.

Pada program tersebut, golongan miskin yang banyak disebut di dalam al-Quran agar dijaga mereka oleh orang beriman, telah disantuni dengan ziarah ke kediaman dan serahan sumbangan sebagai pemberian dari pihak berkemampuan kepada golongan memerlukan. Juga menjalin hubungan kasih sayang dan pembelaan ke atas mereka.

Begitu juga seruan Nabi SAW agar memberi makan kepada orang berbuka puasa dilaksanakan dengan mengadakan majlis iftar perdana bersama masyarakat dalam rangka silaturrahim dan meraih limpahan pahala.

Pada menjalani ibadah tarawih turut diselitkan sesi tazkirah yang menjadi muhasabah peringatan dan penjana kekuatan agar giat meningkatkan ibadah di bulan Ramadan ini.

Program sehari itu berakhir dengan sesi pertemuan Khairil Nizam bersama anggota Pemuda PAS Kawasan Baling mendengar tausiyah untuk istiqamah meneruskan perjuangan.

Untuk sama-sama menyemarakkan agenda berkebajikan dilaksanakan Dewan Pemuda PAS Kawasan Baling, adalah diseru untuk turut menyumbang ke akaun Bank Islam 02048010008716. - HARAKAHDAILY 6/7/2015

Share on Myspace