Biar sebesar mana badai melanda, kita selamat

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Ramadhan bagaikan sebuah kem latihan yang mengemukakan pelbagai modul menarik untuk melahirkan insan yang terbaik.

"Pastinya modul yang wajib kita ambil ialah modul pembinaan aqidah, fikrah dan akhlak," tulis Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasrudin Hassan menerusi laman facebook.

Katanya, kepatuhan berpuasa sebagaimana perintah Allah swt adalah aqidah, memahami matlamat dan objektif amal padanya adalah fikrah dan sikap serta sifat yang perlu dilakukan sepanjang Ramadhan adalah akhlak.

Menurutnya, keseimbangan aqidah yang soheh (benar), fikrah yang soreh (jelas) dan akhlak yang soleh (baik) adalah komponen utama untuk membentuk sosok insan yang terbaik (khaira ummah).

Beliau berkata, modul itu mesti kekal diaplikasi sepanjang waktu dan ia adalah penyumbang utama kepada pembentukan negara dan tamadun yang dirahmati dan diberkati oleh Allah swt.

"Sewajarnya keseimbangan ini dimiliki oleh pejuang. Buruk benar seorang yang hilang salah satu dari unsur keseimbangan tersebut," ujarnya lagi.

Tambahnya, aqidah mantap tetapi tiada akhlak hanya menjadi fitnah kepada pejuang.

Ini, jelasnya samalah seorang pejuang yang mempunyai akhlak dan fikrah yang baik tetapi rosak aqidah, tidak memberi sebarang nilai pada diri dan agama.

"Kita perlukan aqidah yang soheh agar kita tidak dihumban oleh Allah swt ke neraka-Nya.

"Kita mesti mempunyai fikrah dan tasawwur Islam yang jelas dan luas supaya mampu menangkis tohmahan jahat terhadap Islam dan dalam masa yang sama kita boleh menyebarluaskan risalah Islam," katanya.

Akhlak Islam pula, jelasnya adalah keindahan peribadi yang akan memikat massa kepada Islam.

"Tiga anasir seimbang itu (aqidah, fikrah, akhlak) adalah asas kekuatan kita. Biar sebesar mana pun badai melanda, andai kita memiliki tiga perkara ini, insyaallah kita selamat.

"Allah redha kepada kita lantaran aqidah kita yang benar. Masyarakat sayang kepada kita ekoran akhlak kita yang baik dan kita memiliki kemuliaan kerana berada di atas manhaj yang betul dipandu fikrah Islam yang jelas," ujarnya. - HARAKAHDAILY 6/7/2015

Share on Myspace