Ayahanda saya tidak terlibat - Mukhriz

MUHAMMAD FAIZAL | .

KUALA LUMPUR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir menafikan penglibatan ayahnya Tun Dr Mahathir Mohamad dalam penyebaran maklumat berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dilakukan bekas eksekutif PetroSaudi International Xavier Andre Justo.


Beliau pada majlis berbuka puasa di Kuala Lumpur semalam berkata, tuduhan yang dilempar kepada Mahathir sebagai tidak adil.

"Ini pendirian peribadi saya, tak timbul langsung ayahanda Tun untuk seleweng, tukar fakta emel atau ubah suai (edit), itu hanya dakwaan dan tuduhan yang tidak adil.

"Terbaru sekali terlibat dengan Justo kata, dia (Tun M) dalang untuk tukar dokumen itu adalah dakwaan yang tidak adil dan tidak benar, saya harap dakwaan ini tidak dipanjangkan.

"Kalau kata tuduhan yang dibuat kepada pucuk pimpinan itu tidak benar dan tidak tepat, samalah tak adil dakwaan yang dibuat terhadap ayahanda saya Tun M," katanya.

Beliau yang turut mengakui tersepit diantara pertembungan dua pemimpin negara, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Mahathir.

"Saya tersepit antara dua tokoh besar negara, satu pemimpin negara dan bapa sendiri, bayangkanlah keadaannya.

"Saya berpendirian duduk senyap dan tidak mahu komen apa-apa takut ada yang terguris, tetapi sabar ada hadnya, berita demi berita dan tak sempat padam api ini, api lain pulak datang," katanya lagi.

Mukhriz yang menggesa agar setiap tuduhan yang dilemparkan itu dijawap dengan segera supaya pilihan yang dilakukan itu tepat.

"Sekarang kita inginkan kebenaran, adakah kita bersatu ini kerana kebenaran atau kita bersatu kerana kebatilan.

"Jika kita ingin taat mestilah dalam keadaan celik mata dan bukannya tidak tahu apa-apa atau taat buta tuli," sambung beliau lagi.

Sebelum itu, Speaker Sabah Datuk Seri Salleh Said Keruak mempersoalkan motif Mahathir mempertahankan Justo, selepas bekas perdana menteri itu menyuarakan keraguannya berhubung tangkapan yang dibuat ke atasnya. – HARAKAHDAILY 6/7/2015

Share on Myspace