Amiruddin kekal Ketua Pembangkang Dun Kedah

IZWAN ABDUL HALIM | .

ALOR SETAR: Perkhidmatan cemerlang dan kewibawaan serta pengalaman Datuk Amiruddin Hamzah selaku Ketua Pembangkang Dun Kedah kekal menjadi taruhan dan harapan untuk terus menyuarakan hak dan kepentingan rakyat negeri ini.

Atas keyakinan itu, PAS Negeri Kedah telah melantik beliau sebagai Pengerusi Sekretariat Adun PAS Negeri Kedah, demikian menurut Pesuruhjaya PAS negeri, Dr Ahmad Fakhruddin Syeikh Fakhrurazi.

Katanya, selama dua tahun sebagai Ketua Pembangkang Dun Kedah, Datuk Amiruddin telah membawa suara PAS bersama PKR dan DAP sebagai mewakili hasrat rakyat.

Tegasnya, PAS negeri komited untu terus menggerakkan peranan bersama dan dukungan serta sokongan kepada beliau bagi menjayakan peranannya menerusi sekretariat tersebut.

“Saf kepimpinan baharu PAS Negeri Kedah sedang menyusun penelitian dan merangka strategi terbaik ke arah usaha kembali memerintah Kerajaan Negeri Kedah yang antaranya akan dizahir dan dijayakan oleh Adun-adun PAS untuk merealisasikannya.

“Peranan Datuk Ir Amiruddin selaku Pengerusi Sekretariat adalah satu bentuk pembahagian dan penyusunan tugas ke arah menjayakan keputusan dan tindakan bersama yang bakal diambil,” ujarnya menyangkal dakwaan Amiruddin tidak diberi peranan dalam PAS Kedah.

Menurut beliau, dengan pakej dan kepimpinan yang ada pada Amiruddin, PAS negeri percaya bahawa Adun-adun PAS Kedah akan menjadi ikon impian bersama rakyat untuk memegang tampuk pentadbiran negeri.

Sekaligus katanya, pasukan ini akan menjadi saf hadapan dalam menghadapi Umn BN yang diketuai Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Katanya, PAS negeri optimis, peranan secara kolektif mereka adalah kekuatan jitu sebuah jentera yang pasti mencapai cita-cita untuk kembali ke Wisma Darul Aman pada PRU14 nanti.

“Kami menyeru sokongan dan kebersamaan masyarakat rakyat negeri Kedah untuk menyertai PAS Negeri Kedah menjayakan hasrat murni ini demi mengembalikan “Kedah Sejahtera” ke persada pemerintahan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 6/7/2015

Share on Myspace