Perpaduan Melayu sekadar TG Hadi- Najib bersalam?

| .

 

SANGGAR Bicara anjuran Majlis Profesor Negara (MPN) di Kota Bharu 27 Jun lalu turut mendebatkan isu hudud.

Isu perpaduan nasional yang dibincang tersasar sehingga mengetuk pintu hudud. Hudud, qisas dan takzir terkandung dalam Kanun Jenayah Syariah (KJS) Kelantan (II) 1993 Pindaan 2015.

Dua panelis diundang dari Umno iaitu ahli Majlis Tertinggi, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Umno Pasir Puteh, Zawawi Othman.

Dan seorang lagi panelis Datuk Dr Halim Ahmad, juga berhujah tidak jauh dari kerangka Umno. Mereka berganding di satu pentas bagi berdepan dengan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Nik Abduh Nik Abdul Aziz.

Nasib baik audien kalangan pensyarah dari Universiti Malaysia Kelantan, UiTM, sarjana dan wakil-wakil NGO. Hadir sama Ketua Kluster Perpaduan Nasional MPN Prof Dr Mansor Mohd Noor.

Program bicara itu memilih Kota Bharu bagi mengumpul aneka pandangan dan idea. Di sepanduk di tepi pentas utama di dewan kecil sebuah hotel tertulis perkataan Penggubal Mencari Titik Pertemuan Perpaduan Bersama.

Program itu di bawah kendalian Kluster Perpaduan Nasional.

Sepatutnya ucaptama wacana itu disampaikan Profesor Ulung Dato’ Shamsul Amri Baharudin. Turut disenaraikan panelis awal iaitu Prof Emeritus Dato’ Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid, Timbalan Ketua Umno Ketereh, Dato’ Mohd Alwi Che Ahmad dan Dr Mohd Zuhdi Marzuki dari UM.

Namun hanya Nik Abduh yang kekal dari senarai asal hadir pada program berkenaan. Mohd Alwi diganti Zawawi yang juga Adun Semerak.

Manakala Dr Halim menggantikan tempat Dr Mohd Zuhdi. Dr Mansor memberitahu Dr Shamsul ada komitmen lain di luar negara. Terdapat juga peserta bukan Islam merancakkan diskusi tersebut.

Biar pun wacana membincangkan isu perpaduan nasional, namun hudud masih mencuri perhatian panelis. Apa yang jelas perpaduan Melayu tidak boleh lari dari kerangka agama.

Ada panelis terus terang melontar pandangan hudud belum sesuai dilaksanakan di Malaysia.

“Perlukah kita isytiharkan Islamic State. Saya percaya sekiranya usaha itu diteruskan Sabah dan Sarawak akan menarik diri daripada persekutuan Malaysia.

“Risiko keselamatan Malaysia tidak boleh ditolak kalau rancangan itu diteruskan, antaranya ancaman dari negara asing,” kata salah seorang panelis yang mengaku non partisan.

Baginya PAS hendak membawa perubahan secara total, manakala Umno dianggap hendak mengubah perlembagaan ke arah Islam beransur-ansur.

Lebih mengejutkan lagi hujahnya, usaha PAS menghala ke arah Islamic State menyebabkan wujud perpecahan kalangan orang Melayu.

Berbeza sekali dengan hujah wakil PAS. Bagi Nik Abduh hudud yang terangkum dalam KJS dianggap menyatukan rakyat Kelantan di bawah kepemimpinan ulama sejak 1990.

Sebaliknya Dr Asyraf menganggap beliau tidak boleh menerima apabila ada pihak mentohmahkan Umno menolak Islam.

Beliau mengakui membesar dalam suasana Umno dan melihat parti terbabit juga memperjuangkan Islam.

Yang Dipertua Yadim itu juga menegaskan kelemahan individu dalam Umno tidak boleh disamakan dengan masalah parti.

“Saya tegaskan kita tidak perlu bubar parti untuk mencapai perpaduan Melayu. Apa yang penting kejujuran kita untuk menilai Umno membawa Islam atau tidak,” ujarnya.

Beliau menyimpulkan PAS sebagai ekstremis Islam.

Bagaimanapun bagi Nik Abduh, Umno memperlihatkan wajah alim sekarang selepas parti itu tersepit.

“Saya tidak boleh terima hujah Adun Semerak, perpaduan Melayu hanya selesai apabila Haji Hadi dan Datuk Najib bersalam di satu pentas,” ujarnya.

Kesimpulannya biar apa pun isu dibangkitkan dalam wacana membabitkan orang Melayu, ia tidak boleh lari dari ruang lingkup agama.

Begitu juga isu perpaduan nasional dibawa Majlis Profesor Negara, isu hudud tidak dikesampingkan.

Apakah ini yang dikatakan orang agama tidak boleh dipisahkan dari identiti Melayu. - HARAKAHDAILY 6/7/2015

Share on Myspace