Kenapa Najib tak buat laporan polis?

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak perlu melakukan pembelaan ke atas dirinya dengan membuat laporan polis ke atas Wall Street Journal (WSJ) dan Sarawak Report, demikian tegas Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar.

Katanya, tidak cukup dengan meminta peguam memberikan nasihat kepadanya tentang apa tindakan yang sepatutnya diambil oleh Najib Tun Razak.

"Kenapa begitu lambat peguam-peguamnya memberikan nasihat dan cadangan tindakan yang perlu dilakukan oleh beliau.

"Tak kan nak buat laporan polis pun kena tunggu nasihat peguam. Kebebalan apa yang ada pada peguam-peguam PM mengambil masa begitu lama nak nasihat PM," katanya kepada Harakahdaily.

Justeru Mahfuz menasihati Najib Tun Razak agar membuat laporan polis dengan segera terhadap WSJ dan SR sebelum disusuli dengan tindakan menyaman kedua-dua pihak tersebut atau sememangnya beliau tidak lagi percaya pada Polis Malaysia (PDRM).

Terdahulu, WSJ melaporkan bahawa siasatan ke atas syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan mendakwa didapati berbilion ringgit dimasukkan ke akaun peribadi Datuk Seri Najib Razak.

WSJ mendakwa dokumen itu menunjukkan AS$700 juta (RM2.67 bilion) dipindahkan ke agensi kerajaan, bank dan entiti berkaitan 1MDB dan akhirnya ke akaun peribadi perdana menteri dalam lima deposit berasingan, lapor WSJ. – HARAKAHDAILY 7/7/2015

Share on Myspace