Jangan sampai pejuang ditempelak sebagai ketam

HARAKAHDAILY | .

Medan juang kita terlalu terdedah kepada pelbagai ruang yang merosakkan. Virus mazmumah seperti besar diri, rasa hebat, sombong, sukar dengar nasihat, ego dan lain-lain adalah virus yang mudah merebak dan berjangkit pada diri seorang pejuang. Sementelah pejuang juga manusia biasa yang tidak maksum dan kebal daripada serangan virus tersebut.

Tanggungjawab pejuang bukan sahaja mengenai orang lain tetapi juga diri sendiri. Kita tidak mahu menjadi satu golongan seperti yang disifatkan oleh Al Quran:

أَتَأْمُرُونَ النَّاسَ بِالْبِرِّ وَتَنسَوْنَ أَنفُسَكُمْ وَأَنتُمْ تَتْلُونَ الْكِتَابَ أَفَلَا تَعْقِلُونَ

Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedang kamu lupa akan diri kamu sendiri; padahal kamu semua membaca Kitab Allah, tidakkah kamu berakal? (Surah Al Baqarah: 44)

Kita perlu serius menilai situasi ini. Jangan sampai para pejuang ditempelak sebagai ketam menyuruh anaknya berjalan betul sedang dia sendiri tidak betul arah jalannya. Keberkesanan dakwah kita juga banyak bergantung kepada bagaimana kita menyediakan diri yang layak dijadikan uswah atau qudwah (contoh teladan yang baik) kepada ummah.

Tidak mudah untuk menempatkan diri pada tahap itu. Namun kita mesti melakukannya demi perjuangan suci ini. Kita mesti menyucikan jiwa kita terlebih dahulu dari segala noda dan virus mazmumah yang bukan sahaja merosakkan amalan kita tetapi juga akan menjadi penebat atau penghalang kepada usaha dakwah kita.

Jiwa yang suci antara syarat kemenangan dan kejayaan dalam perjuangan. Memudahkan pertolongan dari Allah swt sementara jiwa pejuang yang kotor memungkinkan pertolongan Allah swt itu batal.

Firman Allah swt: قَدْ أَفْلَحَ مَن زَكَّاهَا. وَقَدْ خَابَ مَن دَسَّاهَا.

Sesungguhnya berjayalah orang yang membersihkan dirinya (dengan iman dan amal kebajikan), Dan sesungguhnya hampalah orang yang mengotorkan jiwanya dengan maksiat. (Surah Asy Syams: 9-10) - HARAKAHDAILY 7/7/2015

NASRUDIN HASSAN
Ketua Penerangan PAS Pusat

Share on Myspace