Merebut ganjaran 10 malam terakhir Ramadan

| .

Assalamualaikum w.b.t.


Firman Allah S.W.T :

 

                  شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ

Bulan Ramadhan adalah bulan bulan diturunkannya Al Qur’an. Al Quran adalah petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda (antara yang hak dan yang bathil)” (QS. Al Baqarah: 185)

Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah SWT kerana dengan izinNya maka kita semua masih lagi diberikan kesempatan untuk berada di dalam bulan Ramadhan Al Mubarak pada tahun ini dan hari ini bersamaan dengan tanggal 19 Ramadhan 1436 Hijrah.

Kini kita semua berada di penghujung Ramadhan 1436 Hijrah dengan berbaki 11 hari lagi untuk menyempurnakan bulan yang penuh berkat ini dengan amalan-amalan yang dapat meningkatkan ketaqwaan dan ketundukan kita kepada Yang Maha Pencipta, Allah SWT. Saya mengambil kesempatan ini untuk memperingatkan diri saya sendiri dan umat Islam khususnya sekelian rakyat negeri Selangor supaya tidak mengabaikan kelebihan beribadat pada 10 malam terakhir Ramadhan pada tahun ini kerana belum tentu lagi kita akan diberikan kesempatan oleh Allah untuk bertemu dengan Ramadhan pada tahun hadapan.

Sesungguhnya Rasulullah SAW telah menunjukkan contoh pedoman seorang hamba Allah yang cukup taat di dalam melakukan Ibadah kepada Allah terutamanya di malam 10 hari terakhir Ramadhan, Baginda akan bersama-sama ahli keluarga memperbanyakkan amalan berjaga malam, beriktikaf, bertahajjud, memohon keampunan Allah, bertadarus Al Quran serta amalan-amalan yang lain pada setiap malam sehingga ke penghujung Ramadhan. Jikalau seseorang Kekasih Allah sangat memberatkan amalan Beliau sehingga sedemikian rupa maka apakah kita selaku umat Nabi SAW boleh membiarkan malam 10 terakhir Ramadhan pada kali ini berlalu dengan begitu sahaja disebabkan kelalaian dan kealpaan diri sendiri.

Sementelah lagi, Allah SWT telah berfirman di dalam Surah Al-Qadr (ayat 1-5) yang bermaksud :  

"Sesungguhnya kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam Lailatulqadar, dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam Lailatulqadar? Malam Lailatulqadar lebih baik daripada seribu bulan.Pada malam itu, turun Malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!"

Dalam ayat di atas, Allah SWT menerangkan bahawa Dia telah menurunkan al-Quran al-Karim pada malam Al-Qadar. Ini adalah bukti yang jelas tentang keutamaan, kemuliaan, keberkatan dan keistimewaan malam Lailatulqadar. Malah, jika dihitung; seribu bulan adalah bersamaan dengan 83 tahun dan empat bulan, ini bermakna bahawa satu malam ini sahaja adalah lebih baik daripada seluruh umur seseorang. Ia secara jelas menunjukkam bahawa keistimewaan malam tersebut tiada tolok bandingannya.

Malam Lailatulqadar merupakan malam yang sengaja dirahsiakan oleh Allah SWT sebagai satu ujian kepada umat Islam dalam mencari rahmat dan kasih sayang-Nya. Oleh yang demikian, bagi mereka yang benar-benar beriman kepada Allah SWT, maka mereka akan lebih ghairah dan teruja mencari keredhaan dengan memperbanyakkan amalan dalam meraih ganjaran pahala yang berlipat kali ganda daripada Allah SWT di penghujung Ramadhan. Justeru, umat Islam dianjurkan agar mencari dan merebut Lailatulqadar. Hal ini bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Carilah malam Lailatulqadar pada 10 malam terakhir" (hadis riwayat al-Bukhari).

Dalam salah satu riwayat yang lain, dinyatakan juga bahawa Rasulullah SAW melakukan solat pada malam Ramadan dan membaca al-Quran dengan tertib. Baginda tidak akan melalui ayat rahmat kecuali berharap agar Allah memberikan rahmat itu dan tidak melalui ayat azab kecuali memohon perlindungan daripada Allah daripada azab itu.

Solat berjemaah juga sangat diutamakan pada malam-malam terakhir Ramadan. Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang mengerjakan solat Isyak dan Subuh secara berjemaah pada waktu malam,maka  dia juga telah menghidupkan seluruh malam itu" (hadis riwayat Abu Dawud). Di sini bermaksud, sesiapa yang mengerjakan solat Isyak dan Subuh sahaja dianggap telah mendapat sebahagian daripada apa yang dimaksudkan dengan Lailatulqadar.

Selain itu, amalan beriktikaf juga wajar diteruskan di penghujung Ramadhan yakni dengan memperbanyakkan duduk di masjid untuk beribadah kepada Allah SWT. Iktikaf merupakan sunnah yang dianjurkan oleh Baginda SAW demi memperolehi kelebihan dan ganjaran Lailatulqadar.

Dalam sebuah hadis yang lain Abu Hurairah berkata: "Rasulullah SAW selalu beriktikaf pada tiap-tiap sepuluh hari terakhir Ramadan, manakala pada tahun Baginda diwafatkan, Baginda beriktikaf selama 20 hari"(hadis riwayat Ahmad, Abu Dawud, al-Tirmidzi dan dinilai sahih oleh al-Tirmidzi).

Di samping itu, kita juga turut dianjurkan untuk memperbanyakkan doa, khasnya dengan memohon keampunan kepada Allah SWT. Dalam konteks ini, para Ulama telah bersepakat bahawa doa yang paling utama pada malam Lailatulqadar adalah doa memohon keampunan atau maghfirahdaripada Allah SWT.

Dalam satu hadis sahih yang diriwayatkan daripada Aisyah dan dikeluarkan oleh al-Tirmidzi, Aisyah diajar oleh Rasulullah SAW membaca doa pada malam Lailatulqadar yang bermaksud: "Ya Allah, sesungguhnya Engkaulah Tuhan Yang Maha Pengampun, yang suka mengampun, maka ampunilah aku" (hadis riwayat al-Tirmidzi, 5:535).

Rasulullah SAW turut berdoa yang bermaksud: "Ya Allah, jadikan sebaik-baik umurku adalah penghujungnya. Dan jadikan sebaik-baik amalku adalah penutupnya. Dan jadikan sebaik-baik hari-hariku adalah hari di mana aku bertemu dengan-Mu kelak" (Musannaf Ibn Abi Syaibah 6: 65).

Begitulah teladan yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW kepada seluruh umat Islam dalam menjalani ibadah puasa. Namun persoalannya, sejauh manakah kita mencontohi keperibadian Baginda dalam melaksanakan ibadah puasa dan menghidupkan malam-malam terakhir Ramadhan?

Mudah-mudahan, dalam menghitung hari-hari terakhir Ramadhan kita dapat bermuhasabah diri dan merenung kembali pengisian yang telah kita laksanakan sepanjang tempoh 19 hari yang telah berlalu. Jika, masih terdapat banyak lagi kelemahan dalam kita melunaskan puasa kita sebelum ini, maka masih belum terlewat untuk kita memperbaiki kelemahan tersebut agar kita mampu mencapai takwa dalam erti kata sebenar. Marilah kita mengisi 10 hari terakhir Ramadhan pada kali ini dengan memperbaiki dan mempertingkatkan amalan ibadah kita kepada Allah Taala, memperbanyakkan berdoa semoga Allah menerima segala amal ibadah kita, menerima taubat kita, memaafkan segala kesalahan dan dosa kita, menjauhkan diri kita daripada sifat-sifat mazmumah/buruk, buruk sangka, fitnah dan perpecahan di kalangan ummat Islam sehingga dapat menghindarkan diri kita semua daripada azab api neraka yang sangat dahsyat. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : "Barangsiapa yang tidak meninggalkan perkataan buruk dan perbuatannya tatkala puasa, maka tiada hajat Allah baginya (kerana pahala akan terhapus) walaupun meninggalkan makanan dan minumannya" (Riwayat Al-Bukhari, 4/1903 - Fath al-Bari).

Marilah kita memohon supaya Allah Taala menyelamatkan negeri dan negera kita yang tercinta ini daripada bala bencana dan malapetaka kerana kerakusan manusia itu sendiri yang semakin jahil serta menjauhkan diri daripada Allah Taala sehingga mengundang kemurkaan Allah Taala. Harapan saya semoga setelah selesai madrasah Ramadhan pada tahun ini kita semua akan benar-benar menjadi insan yang bertaqwa kepada Allah yang akan mempraktikkan institusi Ramadhan ke dalam bulan-bulan seterusnya sehingga bertemu kembali kepada Ramadhan yang akan datang dari sudut ibadah, muamalah, siyasah dan akhlak.

Akhirnya saya ingin mengambil kesempatan ini juga untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Eidul Fitri 1436 Hirah, Minnal Aidil Wal Faizin, Maaf Zahir dan Batin kepada seluruh Ummat Islam di Malaysia dan di Selangor khususnya. Didoakan semoga seluruh ibadah kita selama ini diterima oleh Allah Taala. - HARAKAHDAILY 7/7/2015 

 

Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi, D.P.M.S.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu& Warisan Pembangunan Desa Dan Kampung Tradisi Negeri Selangor

20 Ramadhan 1436H / 07 Julai 2015

Share on Myspace