Mustahil polis tidak kenal pengacau majlis DAP

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Tindakan 100 orang penyokong sebuah parti politik yang menyerang majlis sesi ramah mesra DAP dengan orang Sabah dan Sarawak di Taman Megah Ria Masai, Johor kelmarin memang patut dikutuk.

Naib Presiden PAS, Idris Ahmad berkata, politik ganas dan tidak bertamadun seperti itu tidak sepatutnya subur di negara ini.

"Sepatutnya kalau tidak puas hati kena buat majlis lain dan jawab balik siri penerangan ini. Hujah mesti dijawab dengan hujah bukan dengan gangguan," ujarnya kepada Harakahdaily.

Katanya, pihak polis kena bertindak dan menyiasat mereka yang terlibat dalam tragedi ganas itu.

Bagi Ahli Parlimen Bukit Gantang itu mustahil polis tidak kenal wajah-wajah yang terpampang dengan jelas.

"Jika himpunan aman yang dihadiri oleh ratus ribu polis boleh kenal muka yang terlibat.

"Bukankah polis Malaysia, polis yang cekap?" ujarnya sinis.

Justeru, tegasnya PAS mengingatkan kepada semua parti politik  jangan mempermainkan isu agama dan kaum di negara ini kerana ia merupakan isu yang sensitif.

"Hormatlah keharmonian dan kedamaian yang sedia ada supaya iklim politik negara jangan dipanaskan," katanya lagi. - HARAKAHDAILY 7/7/2015

Share on Myspace