Najib tidak endah teguran saya - Tun M

| .

KUALA LUMPUR: Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamed bimbang Felda berniat tidak baik terhadap peneroka Felda apabila menyenaraikan Felda Global Ventures (FGV) di Bursa Malaysia.

Beliau berkata, apabila FGV membuka ruang pemilikan saham kepada syarikat luar, aset peneroka akan tergadai.

"Najib melakukan banyak perkara yang memudaratkan negara. Dia kata Pak Lah teruk, tapi pemerintahan Najib lagi teruk.

"Dulu saya sokong Najib, sekarang saya terpaksa bersuara dan tarik balik sokongan. Saya sudah tegur dia, Najib tidak endah pandangan saya," kata Tun Mahathir.

Beliau meluahkan demikian kepada badan bukan kerajaan (NGO) Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) dalam pertemuan di Yayasan Kepimpinan Perdana Putrajaya petang semalam.

Menurut Presiden Anak Mazlan Aliman, pertemuan lebih sejam itu turut membincangkan isu-isu berkaitan Koperasi Permodalan Felda (KPF), 1Malaysia Development Berhad (1MDB), cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Beliau memberitahu, Tun Mahathir juga berasa hairan terhadap pelantikan Tan Sri Isa Samad sebagai Pengerusi Felda sedangkan beliau telah dibuang akibat salah laku dan politik wang.

"Kenapa FGV buang duit beli hotel, kilang dan melabur di luar negara sedangkan ruang dan peluang masih terbuka luas di negara sendiri. Beli aset pula dengan harga tinggi, untuk ambil kesempatan peribadi," katanya.

Justeru, Anak memohon Tun Mahathir membuat kenyataan terbuka mengenai situasi kritikal dalam Felda dan FGV dan menerima respons yang baik daripada beliau.

"Terima kasih Tun atas kesudian dan meraikan kedatangan rombongan Anak," ujarnya.

Turut hadir, penasihat ekonomi Anak, Dr Rosli Yaakop, bekas pegawai kanan Felda, Abd Ghani Mahmood dan Mohd Said Jonit.

Sementara itu, Mazlan berkata pihaknya akan mengatur pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam masa terdekat.

Selain itu katanya, pejabat Anak yang baru beroperasi di Ukay Perdana akan dirasmikan oleh Menteri BEsar Selangor AZmin Ali pada 27 Jun ini. - HARAKAHDAILY 7/7/2015

Share on Myspace