Kenapa Najib tidak nafi akaun Ambank miliknya?

MUHAMMAD FAIZAL | .

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib tidak menafikan akaun Ambank seperti yang didakwa Wall Street Journal (WSJ) adalah miliknya.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata sewajarnya Najib tampil melakukan pembelaan awal pada dirinya dengan menafikan segala tuduhan tersebut.

"Tersangat pelik bila Najib yang dituduh oleh WSJ menerima sejumlah wang dan dimasukkan ke dalam akaun Ambank tidak tampil menafikan perkara tersebut.

"RM2.6 bilion diterima dari tiga syarikat dikatakan mempunyai hubung kait dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 yang lalu," katanya.

Tambahnya, tanpa ada penafian tetapi dengan hanya berkata jika Najib ingin mengambil duit negara beliau tidak akan menggunakan akaun di dalam negara ini.

"Persoalannya kepada beliau tidak menafikan akaun yang didedahkan WSJ dengan nombor akaun tersebut adalam akaun peribadi miliknya.

"Malah beliau juga tidak menafikan sejumlah RM2.6 bilion yang didakwa dimasukkan ke dalam akaun tersebut dan juga tidak menafikan tiga syarikat yang menyalurkan wang itu.

"Sebaliknya beliau hanya menyatakan yang membawa maksud itu bukan wang negara, jadi kalau bukan duit negara duit siapa, Najib juga tidak menafikan fakta dan angka di dalam laporan WSJ," katanya lagi.

Mahfuz menggesa Najib tampil menafikan setiap dakwaan dalam WSJ dan jika dakwaan itu betul  perlu menjelaskan dari mana sumber wang tersebut diperolehi. - HARAKAHDAILY 7/7/2015

Share on Myspace