1MDB: Krisis terbesar politik negara, siasat segera

NASRUDIN HASSAN | .

Isu transaksi RM2.6 bilion ke akaun peribadi YAB Perdana Menteri ekoran dakwaan The Wall Street Journal (WSJ) tempoh hari telah mencetus suasana yang sangat buruk terhadap maruah negara dan integriti kerajaan Malaysia. Air muka rakyat Malaysia juga jatuh dimata masyarakat antarabangsa lantaran isu ini sedang hangat diperkatakan oleh media-media antarabangsa.

PAS telah mengambil pendirian tegas dan jelas sejak awal lagi bahawa penyelewengan mesti ditentang, nilai integriti mesti dipulihkan dan keadilan mesti ditegakkan. Justeru itu, berulangkali ditegaskan bahawa siasatan telus dan bebas mesti dilakukan. Pada masa yang sama , prinsip Islam dalam proses siasatan ini hendaklah ditegakkan sepenuhnya sebagai penegasan Nabi s.a.w. iaitu:

البينة على المدعي و اليمين على من أنكر

(Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Pendakwaan mestilah berpaksi pada bukti yang jelas dan kukuh sementara pihak yang dituduh hendaklah diberi peluang bersumpah dan membuat penafian yang meyakinkan jika tidak mengaku bersalah.

Pimpinan utama parti khasnya Tuan Guru Presiden PAS, timbalan dan naib-naib presiden telah mengeluarkan kenyataan mengenai isu ini. Malah Lajnah Penerangan PAS negeri-negeri telah membuat report polis berasaskan pendedahan The Wall Street Journal.

Pihak WSJ telah mempertahankan dakwaannya dan mengemukakan asas pertuduhan atau dakwaan mereka. Sementara YAB Perdana Menteri masih dilihat teragak-agak untuk membuat penafian secara langsung pada subjek dakwaan yang dibuat. Penafian yang dibuat masih di awang-awangan dan tidak meyakinkan.

Justeru itu PAS telah menegaskan bahawa perlu satu Suruhajaya Siasatan Diraja ditubuhkan segera dan mengendalikan proses siasatan secara adil dan telus. Kita tidak boleh berpihak pada yang salah sebagaimana kita juga tidak boleh menganiaya pihak yang tidak bersalah. Maka salah atau tidak mesti ditentukan melalui proses siasatan dan pembicaraan yang telus dan adil.

Jangan biarkan negara tergantung tanpa tindakan segera yang berkesan kerana ia bukan sahaja merosakkan nama baik negara tetapi akan memberi kesan langsung pada kestabilan ekonomi dan politik tanahair.

Sidang Khas Parlimen juga perlu dipanggil segera oleh Tan Sri Yang Dipertua Dewan bagi membolehkan YAB Perdana Menteri khasnya dan kerajaan amnya memberi penjelasan kepada ahli-ahli parlimen dan menjawab persoalan serta kekeliruan berbangkit oleh seluruh ahli parlimen sebagai wakil rakyat yang juga bertanggungjawab langsung bagi pihak rakyat dalam negara ini untuk mengetahui betul duduk sebenar perkara ini.

Akhirnya, yang didapati bersalah mesti bertanggungjawab dan diambil tindakan wajar sesuai dengan bentuk kesalahan sementara yang didapati tidak bersalah maka ia berhak menikmati kebebasan. Ini prinsip Islam yang diperjuangkan oleh PAS dan ia terpakai pada semua yang mahukan keadilan tegak di atas tanahair kita.

Sehubungan dengan itu, saya nasihati seluruh ahli PAS khasnya dan semua anggota masyarakat amnya supaya berhati-hati dan meneliti dengan cermat berita yang dilaporkan oleh media, khasnya media yang dikenal pasti mempunyai agenda tersendiri dalam method pemberitaan mereka agar tidak berlaku salah faham terhadap kenyataan pimpinan PAS justeru di sana terdapat media yang melaporkan mengikut apa yang mereka mahu bukan melaporkan apa yang kita mahu. - HARAKAHDAILY 7/7/2015

Penulis ialah Ketua Penerangan PAS Pusat yang juga Ahli Parlimen Temerloh.

Share on Myspace