Isu 1MDB: Siasat, tegakkan prinsip keadilan Islam

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: PAS Johor memandang serius apa yang berlaku kepada negara dan kepimpinannya mutakhir ini.

Pesuruhjayanya, Datuk Dr Mahfodz Mohamed berkata, terlalu banyak isu yang menunjukkan kepimpinan negara yang tidak kompeten, didakwa tidak amanah dan tidak boleh dipercayai.

Menurut beliau, sejak daripada PRU13, musibah demi musibah berlaku sehingga imej Malaysia jatuh di mata dunia.

Tambahnya, terkini ialah dakwaan penglibatan akaun peribadi Perdana Menteri dalam isu kehilangan berbilion wang rakyat dalam isu 1MDB.

"PAS Johor merasakan, demi kepentingan rakyat dan negara, satu siasatan segera perlu dilakukan," ujarnya dalam satu kenyataan.

Justeru, kata beliau PAS Johor menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Peguam Negara untuk membuka kertas siasatan ke atas isu itu.

PAS Johor juga, ujarnya ingin menggesa Ambank dan Bank Negara Malaysia membuat kenyataan rasmi menafikan semua transaksi yang telah dilaporkan bersama segala bukti yang tersebar di laman-laman sosial.

"Kami juga bersetuju dengan pendapat Presiden PAS bahawa Datuk Seri Najib Razak masih perlu kekal sebagai Perdana Menteri Malaysia dan tidak bersalah selagi tidak dibuktikan bersalah sesuai dengan prinsip-prinsip perundangan Islam.

"Namun beliau perlu bertanggungjawab atas segala tuduhan tersebut dengan memberi ruang seluas-luasnya supaya penyiasatan dapat dilakukan," ujarnya yang juga Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat.

Beliau berpandangan, Najib juga perlu bertindak menyaman Wall Street Journal di atas laporan artikel yang mendedahkan penglibatan beliau.

"Penafian sahaja tidak mencukupi apabila tuduhan melibatkan maruah negara dan rakyatnya," katanya lagi. - HARAKAHDAILY 7/7/2015

Share on Myspace