13,947 peneroka dinafikan dividen FGV - Anak

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) dukacita dan kesal atas keputusan Felda yang tidak menyenaraikan 13,947 orang peneroka Felda daripada memperoleh dividen Felda Global Vanture (FGV) dan insentif hari raya berjumlah RM900 seperti mana diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam di Felda Pasoh 1.

Menurut Presiden Anak Mazlan Aliman, tindakan itu mengulangi diskriminasi yang sama seperti tahun lalu, di mana peneroka yang tidak bersama Felda dan mengambil tindakan saman terhadap Felda, dinafikan insentif yang sama sebanyak RM 947.78.

Katanya, meskipun memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) bertarikh 11 september 2014 oleh para peneroka telah dilakukan, ia gagal mengubah pendirian Felda yang disifatkan sebagai zalim dan balas dendam.

Untuk rekod, peneroka yang tidak bersama Felda atau dengan kata lain melaksanakan tanam semula secara persendirian adalah sebahagian kecil dari para peneroka yang berdikari dan gigih mengusahakan kebun 10 ekar milik mereka.

Namun, sebahagian besar dari kelompok ini masih menghantar Buah Tandan Segar (BTS) ke kilang sawit Felda.

"Jika mereka bertindak menyaman Felda dalam kes Kadar Perahan Gred (KPG), ia adalah hak peneroka yang sedia termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan. Ini kerana usaha dan rundingan telah menemui jalan buntu, manakala ketidakadilan dalam kes KPG terus berlaku," tegas Mazlan dalam satu kenyataan.

NGO Anak menggesa Felda menarik balik keputusan yang dibuat dan pembayaran dividen FGV serta insentif hari raya diberi kepada semua 112,635 orang peneroka pada 13 Julai ini bahkan, tunggakan tahun lalu sepatutnya di bayar sama.

"Sempena bulan Ramadan yang begitu banyak kelebihan dan penuh keberkatan, saya merayu campur tangan YAB Perdana Menteri dan budi baik Pengarah Besar Felda, Datuk Hanapi Suhada, agar diskriminasi ini tidak diteruskan. Moga keharmoniaan dan perpaduan warga Felda tetap terpelihara," ujarnya.

Datuk Seri Najib Razak, mengumumkan pembayaran dividen pelaburan FELDA Global Ventures Holdings Bhd (FGV) serta duit raya berjumlah RM900 bagi setiap peneroka di seluruh negara.

Pembayaran dividen itu membabitkan dividen awal sebanyak 6 sen sesaham dan dividen akhir sebanyak 4 sen sesaham bernilai RM600 bagi setiap peneroka, manakala duit raya bernilai RM300.

Dividen yang keseluruhannya bernilai RM59.2 juta dan duit raya (RM29.6 juta) itu akan dibayar kepada 98,688 peneroka yang layak mulai 13 Julai ini. – HARAKAHDAILY 8/7/2015

Share on Myspace