Sasar siapkan surau sebelum Hari Raya

WAN NORDIN WAN YAACOB | .

KUALA LUMPUR: Lajnah Dakwah PAS Pusat (LDPP) bersama NGO Dakwah Tautan Rahmat meneruskan khidmat dan sumbang bakti dengan kali ini masyarakat miskin di Kemboja menjadi tumpuan.

Menurut Ustaz Mohammad Ibrahim, Exco Dewan  Pemuda PAS Malaysia atau lebih dikenali dengan gelaran Ustaz Mad China, rombongan bersama Timbalan Presiden PAS, Dato Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man tiba di Kemboja beberapa hari lalu.

Misi ini katanya adalah untuk menyampaikan bantuan kepada fakir miskin di negara yang serba kekurangan itu khususnya di dalam bulan Ramadhan al-Mubarak ini.

Katanya lagi, program bantuan itu mensasarkan masyarakat di Kemboja kerana melihat kepada kehidupan umat Islam khasnya di sini yang sangat dhaif lebih-lebih lagi umat Islam adalah kaum minoriti yang kurang daripada 4 peratus.

Selain itu rombongan juga telah menyampaikan sumbangan bagi menyiapkan sebuah surau yang terletak di sebuah madrasah di Kampung Adopy, Kracheh Kemboja yang terletak kira-kira 300 km daripada ibu negara Phnom Penh.

Sebanyak RM30 ribu telah disumbangkan bagi merealisasikan projek ini. LDPP sedang berusaha untuk menyiapkan surau tersebut menjelang Idil Adha yang akan datang, justeru segala sumbangan bolehlah disalurkan ke akaun Tautan Rahmat (Maybank - 562188310780)

Program misi bantuan dan kemanusiaan ini juga disertai oleh Khairul Faizi Ahmad Kamil, Penolong Setiausaha Agung PAS, Ust Roslan Md Esa, Exco Dewan Pemuda PAS Malaysia, NGO Rahmat Care, ABRAR Care dan beberapa aktivis umat Islam. – HARAKAHDAILY 8/7/2015

Share on Myspace