1MDB: Najib wajar bercuti serta merta

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Pendedahan dokumen oleh akhbar Wall Street Journal (WSJ) yang didakwa menunjukkan kemasukan berbilion ringgit di dalam akaun Perdana Menteri Najib Razak memberi gambaran yang buruk terhadap ketelusan Najib dan juga pentadbiran serta sistem perbankan negara, demikian menurut Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Nik Nazmi Nik Ahmad.

Katanya, keadaan ini ditambah dengan kenyataan panel siasatan Kamar Peguam Negara, SPRM, Polis dan Bank Negara bahawa enam akaun bank telah dibekukan selepas pendedahan WSJ.

Lebih serius lagi tegasnya, empat bulan selepas dikatakan bermulanya transaksi pertama ke akaun Najib, pengasas Ambank Hussain Ahmad Najadi dibunuh.

"Saya mengulangi gesaan yang telah dibuat sebelum ini supaya Perdana Menteri dan pihak yang melindungi beliau untuk memperjelaskan isu ini dan membersihkan nama beliau," kata beliau dalam satu kenyataan.

Pada masa yang sama, katanya, pihak berkuasa mestilah jalankan siasatan yang terperinci dan bebas daripada pengaruh mana-mana pihak lain dengan penubuhan sebuah Suruhanjaya Siasatan DiRaja.

"Keadilan haruslah ditegakkan dengan penuh ketulusan demi maruah perundangan negara. Najib juga mestilah mengambil untuk memastikan bahawa siasatan yang dijalankan adalah terperinci, telus dan diyakini.

"Najib mestilah mengambil cuti serta-merta agar siasatan yang menyeluruh, telus dan berwibawa dapat dijalankan," katanya. – HARAKAHDAILY 8/7/2015

Share on Myspace