Siasat perkara utama, bukan hukum WSJ

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Siasatan ke atas The Wall Street Journal (WSJ) di bawah Seksyen 4 Jenayah Komputer 1997 kerana mendedahkan maklumat dilihat seperti ingin mengalih perhatian daripada persoalan utama iaitu sejumlah RM2.6 bilion telah dipindahkan ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pengarah Eksekutif National Oversight and Whistleblowers (NOW) Akmal Nasir berkata, tindakan pantas Ketua Polis Negara (IGP) Tan Sri Khalid Abu Bakar untuk menyiasat bagaimana dokumen tersebut boleh bocor seolah-olah beliau lebih berminat untuk mencari kesalahan pemberi maklumat iaitu WSJ sedangkan siasatan terhadap 1MDB mahupun  Najib Razak sehingga kini masih menemui jalan buntu.

Tambahnya, justifikasi yang diberikan oleh Khalid bahawa pendedahan dokumen ini boleh mengancam ekonomi negara dan membawa kepada sabotaj ekonomi negara adalah tidak masuk akal.

"Malah, rakyat sepatutnya berterima kasih kepada WSJ yang mendedahkan kepincangan 1MDB yang wajar diberi tumpuan untuk mengelakkan lebih banyak ketirisan berlaku.

"Ini bukanlah kali pertama pihak berkuasa memberi tekanan terhadap pemberi maklumat tetapi intimidasi terhadap agensi antarabangsa seperti WSJ hanya merendahkan integriti polis dan memalukan negara," katanya.

Justeru, NOW ingin mengingatkan pihak berkuasa agar menumpukan siasatan kepada perkara utama dan berhenti daripada mencari jalan untuk menghukum pemberi maklumat. – HARAKAHDAILY 8/7/2015

Share on Myspace