Tegakkan prinsip keadilan Islam

| .

RAMAI pihak keliru dengan pendirian Tuan Guru Datuk Dr Haron Din dan juga Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam kes dakwaan serius yang didedahkan oleh The Wall Street Journal baru-baru ini.

Kekeliruan itu berpunca daripada metod pemberitaan media Malaysiakini yang meletakkan tajuk berita yang menggambarkan dua tokoh besar PAS itu menyokong Perdana Menteri dalam isu ini. Akhirnya kandungan sebenar kenyataan kedua-dua pemimpin utama PAS ini tidak sampai kepada maksud sebenar dan disalah ertikan.

Walhal, apa yang ingin ditegaskan oleh mereka ialah prinsip perundangan dan keadilan Islam itu mesti ditegakkan dalam menangani kes ini.

Prinsipnya jelas, bahawa lakukan siasatan yang telus dan saksama serta lalui proses perbicaraan yang adil setelah pihak yang mendakwa mengemukakan bukti kukuh dan saksi yang benar. Sementara itu, pihak yang didakwa pula berhak bersumpah dan menafikannya dengan suatu penafian yang meyakinkan jika dia tidak mengaku bersalah.

Siapa jua yang didapati bersalah setelah melalui proses pendakwaan yang telus dan perbicaraan yang adil, maka dia tetap bersalah tanpa mengira siapa. Bahkan Nabi Muhammad SAW sendiri menegaskan bahawa anaknya Fatimah binti Muhammad SAW turut akan dihukum jika didapati mencuri. Inilah prinsip yang mahu disampaikan oleh kedua-dua tokoh pemimpin gerakan Islam itu. Maka tidak berbangkit persoalan mereka menyokong Perdana Menteri dalam isu yang tercetus mutakhir ini.

Allah SWT juga mengajar kita berlaku adil dalam semua keadaan.

Firman Allah swt:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ لِلَّهِ شُهَدَاءَ بِالْقِسْطِ وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَىٰ أَلَّا تَعْدِلُوا اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَىٰ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ

Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan. (Surah Al Maidah: 8)

PAS adalah sebuah gerakan Islam yang beraksi di pentas politik. Peranan besar dan getir yang digalas oleh PAS ialah meluruskan amalan dan pendekatan berpolitik para pemimpin berdasarkan manhaj Islam dan prinsipnya.

PAS tidak boleh mengikut arus politik Machiavelli yang menghalalkan semua cara demi mencapai matlamat politik. Sebaliknya, PAS mesti memastikan arus dan gelombang politik berpaksi kepada Islam dan syariatnya.

Politik kita mestilah politik yang patuh syariah (Shariah Compliance). Inilah juga amanah dan tanggungjawab semua warga penerangan PAS dipelbagai peringkat parti.

Marilah bangkit dan mara membawa risalah perjuangan Islam dan dasar parti sebagaimana yang termaktub di dalam undang-undang tubuh parti, sekaligus menangkis semua fitnah dan tohmahan. Tentu sahaja ia mencabar namun ia satu perjuangan. Sebagaimana sukarnya kita mahu menegakkan sistem ekonomi Islam ditengah-tengah penguasaan ekonomi kapitalis, demikianlah usaha menegakkan politik Islam juga punya cabaran yang tersendiri.

Istiqamah Hingga Kemenangan- HARAKAHDAILY 8/7/2015

Share on Myspace