Maaf, jika bercakap banyak saya akan batuk

DR RIDUAN MOHAMAD NOR | .

SOSOK tubuh itu seperti menahan kesakitan, suaranya bergetar sayu mengucapkan terima kasih berulang kali kepada kami. Penyakit buah pinggang, keracunan pada jantung telah menyedut tubuh sasa yang pernah menjadi ikon anak-anak muda ranggi dekad 80-an dan 90-an.

Yazid Search yang juga dengan gelaran sang gendang telah sebati dengan kumpulan rock Search yang telah 33 tahun mempersada dunia seni.

Kumpulan Rock dari Johor itu pernah menjadi fenomena tanahair dengan lagu Kejora, Meniti Titian Usang, Musafir, Rozzana, Isabella, Fantasia Bulan Madu dan puluhan lagu yang lain. Yazid anak pesara tentera, sejak beberapa tahun ini mengalami tahap kesihatan yang semakin memburuk. Beliau berulang ke hospital untuk dialisis dan mendapatkan rawatan.

Yazid juga menampung kehidupan dengan berniaga tauhu bakar, untuk menampung kos perubatan. Menurut beliau, Ramadhan ini beliau 'berkampung' di Hospital Kuala Lumpur dan merasa terhibur dengan ziarah teman-teman.

"Semoga saya bertambah kuat, juga semakin sembuh. Terima kasih ustaz atas doa semua. Saya merasa kuat dengan kehadiran anda," katanya dengan nada suara yang lemah.

"Maaf, jika bercakap banyak saya akan batuk," sambungnya lirih sambil menunjukkan tempat pembedahan. Kaki Yazid kelihatan sembab, beliau kelihatan agak sukar bergerak.

Ustaz Norazli Toliban membacakan doa syifa' dengan turut diaminkan oleh teman-teman lain, termasuk pihak media yang turut hadir. Lujnah Seni turut menyampaikan sumbangan untuk Yazid, begitu juga dengan Ustazah Nuridah Salleh, Ir Mokhtar Suhaili. Pengarah filem, Adam Hamid yang juga AJK Seni dan budaya PAS turut hadir, juga Datuk Aziz Bakar mewakili kelompok industri seni.

Lujnah Seni dan budaya PAS menggalang tanggungjawab untuk merakyatkan gerakan Islam dalam dimensi inklusif, menyentuh setiap lantai capaian masyarakat. Ratusan anak seni, budayawan, karyawan akan kami jaringkan dan bersinergi untuk memacu PAS meroboh stigma sosial bahawa gerakan Islam ini akan meruntuhkan seni negara dengan perjuangan bernuansa Talibanisasi.

Ramai penyokong PAS dalam industri seni, seperti ungkap Bob Lokman - "bukan semua artis dan anak seni mempunyai kekuatan untuk mengisytiharkan mereka menyokong gerakan Islam".

Namun ramai yang sanggup membantu PAS secara tidak langsung. Mereka juga ingin bersama membina negara ini supaya lebih nyaman dan bertunjang petunjuk rabbani. – HARAKAHDAILY 8/7/2015

Penulis adalah Pengerusi Lajnah Kebudayaan Dan Kesenian PAS Pusat

Share on Myspace