Ada mangsa banjir mahu bertahan di khemah

| .

KOTA BHARU: Jumlah rumah kekal mangsa banjir yang siap dibina sehingga 2 Julai lepas sebanyak 220, 44 dibina kerajaan negeri, 40 lagi kerajaan pusat dan selebihnya NGO.

Menteri Besar Ustaz Datuk Ahmad Yakob berkata jumlah rumah sedang dalam pembinaan pula sebanyak 560 dan pra pembinaan pula sehingga tarikh tersebut 822.

Bagaimanapun katanya masih terdapat 55 mangsa banjir yang tinggal di bawah khemah di Kuala Stong, Kemubu, Kampung Baru Pahi di Kuala Krai dan tapak projek Bandar Utama di Gua Musang.

“Di Gua Musang kerajaan menyediakan rumah transit di Kem PLKN, namun ada mangsa banjir yang berkhemah di Bandar Utama enggan pindah dan hendak kekal di situ sehingga rumah kekal siap.

“Di tempat lain yang tiada rumah transit kerajaan negeri membayar sewa rumah untuk mangsa banjir bagi keselesaan mereka,” katanya pada program dialog dan iftar bersama petugas media di sebuah hotel di sini petang semalam.

Hadir sama anggota-anggota Exco, Datuk Abdul Fattah Mahmood, Datuk Nassuruddin Daud, Pengarah Pusat Kajian Strategik Negeri Kelantan, Dr Wan Nik Wan Yussof dan Pengarah Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri, Ashaari Mamat.

Menjelas lanjut Abdul Fattah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan berkata di Pahi 20 mangsa yang mendiami khemah rosak sepenuhnya rumah mereka ketika banjir besar akhir tahun lepas, manakala 15 lagi rosak separuh.

Katanya, sebanyak 22 rumah transit sedang dibina di tapak rumah mangsa banjir terbabit bagi membolehkan mereka keluar dari khemah.

Kata beliau sebelum ini kerajaan bersetuju untuk menutup khemah penempatan di Bandar Utama di Gua Musang memandangkan rumah transit disediakan.

“Bagaimanapun malangnya masih ada yang mahu kekal di situ. Oleh itu usaha sedang dilakukan bagi memujuk mereka berpindah ke kem PLKN yang jauh lebih selesa berbanding tinggal di bawah khemah,” katanya.

Menurutnya juga 44 rumah kekal yang siap dibina kerajaan negeri iaitu di Kota Bharu dua, Tumpat (2), Pasir Mas (1), Tanah Merah (2), Machang (13), Kuala Krai (23) dan Gua Musang (1).

Katanya sebanyak enam rumah kekal di Kampung Kolam Mas, Gua Musang dijangka dapat diduduki menjelang sambutan Hari Raya.

Begitu juga 27 rumah kekal yang dibina kerajaan Selangor dijangka dapat diduduki tidak lama lagi.

“Dijangka 80 rumah kekal yang dibina di bawah kerajaan negeri dan 88 di bawah kerajaan pusat dapat diduduki sebelum Aidilfitri,” ujarnya.

Kata beliau juga pembinaan rumah kekal di Gua Musang agak terlewat memandangkan anggaran kos awal ditetapkan berubah selepas diperkenalkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) bermula 1 April lalu.

Ketika menjawab soalan lain Menteri Besar berkata pada dasar pembinaan rumah kekal perlu menepati spesifikasi ditetapkan kerajaan negeri iaitu tiga bilik tidur dan sebuah bilik air.

Bagaimanapun tidak dinafikan ada NGO yang membina rumah kekal tidak menepati speksifikasi tersebut, namun ia dipersetujui mangsa banjir. - HARAKAHDAILY 8/7/2015

 

Share on Myspace