Penyelesaian muktamad kes bekas pegawai Kias

HARAKAHDAILY | .

KOTA BHARU: Award bertulis Mahkamah Perusahaan Malaysia menjelaskan setelah bekas Timbalan Pendaftar Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra, Che Ibrahim Mohamad menerima bayaran kesnya, plaintif tidak akan membuat sebarang tuntutan terhadap responden.

Mahkamah menyebut memandangkan plaintif telah dibayar RM20,000 semasa pemberhentian kerja maka Kias perlu membayar RM180,000 sahaja.

Pengerusinya, Gulam Muhiaddeen Abdul Aziz dalam keputusan bertulis juga menyebut responden (Kias) bersetuju mengeluarkan surat testimonial kepada yang menuntut seperti dipersetujui kedua-dua pihak.

Testimonial itu antara lain berbunyi “sepanjang perkhidmatan pihak yang menuntut di Kias beliau seorang yang berkebolehan dalam menjalankan dan melaksanakan tugas yang diamanahkan.”

“Pihak kolej mengambil kesempatan mengucap penghargaan dan terima kasih di atas perkhidmatan beliau,” dipetik daripada award persetujuan bersama kedua-dua pihak yang dikeluarkan Mahkamah Perusahaan.

Harakahdaily memperolehi award tersebut hari ini. Pada perbicaraan kes itu 2 Julai lepas ia diselesaikan tanpa mana-mana pihak dianggap bersalah.

Peguam yang mewakili Kias, Nik Bahrum Nik Abdullah sebelum ini memberitahu keputusan dibuat tanpa pengakuan liabiliti iaitu tidak ada pihak yang boleh dipersalahkan dalam kes tersebut.

Kias pada 30 Januari 2014 menamatkan perkhidmatan Timbalan Pendaftarnya, Che Ibrahim Mohamed bagi kepentingan Kias selaras dengan Perkara 41, Bahagian VIII, Bab D Perkhidmatan Kias.

Penamatan perkhidmatan itu diputus Lembaga Pengarah Kias Darulnaim Sdn Bhd pada 27 Januari 2014. - HARAKAHDAILY 8/7/2015

Share on Myspace