Isu 1MDB: Najib tersilap langkah lagi

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: PAS sekali lagi menegaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak perlu bercuti segera agar siasatan berhubung tuduhan penyaluran dana kepada akaun bank dikatakan milik beliau dilihat bersih.

"Jika tidak, Najib akan kelihatan bermasalah meskipun pasukan siasatan mendapati dakwaan ke atas beliau tidak benar," ujar Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataan.

Berikut kenyataan penuh beliau.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini tersilap langkah lagi apabila beliau sendiri yang menerangkan skop siasatan Pasukan Petugas Khas yang sedang menyiasat dakwaan mengenai penyaluran dana kepada akaun-akaun bank yang didakwa dimiliki beliau.

“Siasatan sedang dilakukan oleh Pasukan Petugas Khas untuk menentukan sama ada tuduhan yang dibuat oleh Wall Street Journal bahawa saya telah mengambil dana 1MDB untuk kepentingan diri sendiri berasas atau tidak. Siasatan mesti mengambil kira kesahihan dokumen yang telah disiarkan bagi menyokong tindakan akhbar tersebut.” (Kenyataan PM pada 8 Julai 2015)

Kenyataan di atas mengundang persepsi bahawa Pasukan Petugas Khas tidak bebas, sedang menerima arahan, atau melaporkan penyiasatan kepada Najib, selaku orang yang sedang dituduh di dalam kes ini. Ini tidak betul dan tidak baik untuk usaha Najib membersihkan namanya.

Tindakan ini lebih buruk daripada hakikat bahawa empat individu yang mengetuai pasukan siasatan ini iaitu Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar, Pengerusi SPRM Tan Sri Abu Kassim Mohamed dan Gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, bekerja di bawah beliau.

Oleh itu, PAS sekali lagi menegaskan Najib perlu bercuti segera agar siasatan dilihat bersih. Jika tidak, Najib akan kelihatan bermasalah meskipun pasukan siasatan mendapati dakwaan ke atas beliau tidak benar.

Najib berulang kali menegaskan beliau tidak mengambil dana 1MDB untuk kepentingan diri sendiri.

Ada dua isu fokus yang masih belum dijawab dengan kenyataan di atas, apakah ada dana 1MDB yang disalurkan melalui akaun-akaun yang didakwa milik beliau.

Jika ya, untuk kepentingan siapa, jika Najib bercakap benar bahawa ia bukan kepentingan diri sendiri.

Oleh itu, skop siasatan Pasukan Petugas Khas bukan sahaja perlu menentukan sama ada kebenaran dakwaan samada ada dana 1MDB yang dimasukkan ke akaun-akaun bank yang didakwa milik Najib , malah pasukan ini juga harus menentukan ke manakah dana itu disalurkan seterusnya daripada akaun-akaun bank tersebut.

Apakah ada cek-cek yang dikeluarkan daripada akaun-akaun tersebut, dan siapa penerimanya untuk kepentingan siapa?

Diharap siasatan dapat diselesaikan secepat mungkin untuk mengelakkan negara dan rakyat terus berada dalam keadaan gawat dan kebimbangan.

Atas ini, selain menyerbu pejabat 1MDB, PAS mencadangkan agar akaun 1MDB juga dapat dibekukan untuk membantu mempercepatkan siasatan. - HARAKAHDAILY 9/7/2015

Share on Myspace