Kritik PM: Sempit sungguh cara fikir Anifah Aman

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Sempit sungguh cara berfikir Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Anifah Aman iaitu mengkritik kerajaan dan Perdana Menteri dianggap mencemarkan imej negara.

"Siap 'ugut' akan ambil tindakan lagi," ujar Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali yang merujuk kepada laporan The Star. (http://www.thestar.com.my/News/Nation/2015/07/08/Anifah-action-can-be-taken/)

Sepatutnya, kata beliau penilaian terhadap kritikan itu dibuat secara adil, komprehensif dan holistik; termasuk mengambil kira ‘cause of critics’.

"Rakyat, ahli akademik dan ahli politik kritik kerajaan dan Perdana Menteri kerana kerajaan dan Perdana Menteri buat tindakan atau bertindak balas terhadap sesuatu isu secara tidak betul.

"Kadang-kadang kelihatan bodoh pun ada. Itu apa yang rakyat rasa," ujarnya.

Menurutnya, macam-macam kos barangan dan perkhidmatan naik, tambahan nilai Ringgit pula jatuh tetapi pihak kerajaan dan Perdana Menteri masih ke hulu ke hilir mencanang ekonomi tumbuh semakin baik, kejatuhan nilai Ringgit positif untuk negara dan rakyat dan semua kenaikan yang berlaku mendidik rakyat berjimat dan berbakti kepada kerajaan.

Tambahnya, sedangkan rakyat berpeluh rejat hendak mendapatkan seringgit dua untuk anak isteri dan menabung.

"Tiba-tiba ada orang keluarkan cerita berbilion ringgit masuk akaun bank Perdana Menteri," ujarnya yang juga AJK PAS Pusat.

Justeru, kata beliau tidak peliklah rakyat berang dan meradang.

"Apa yang pelik, Perdana Menteri masih berlenggang dan bergoyang. Ini baru betul-betul mencemarkan imej negara. Tak begitu?" kata beliau. - HARAKAHDAILY 9/7/2015

Share on Myspace