LGE kena cermin diri dulu sebelum tuduh PAS

HARAKAHDAILY | .

LIM Guan Eng dilihat sengaja menyerang PAS apabila menggelar PAS sebagai musuh, hanya semata-mata kerana PAS Pulau Pinang membawa kes pemecatan terhadap wakil PAS di dalam agensi kerajaan negeri untuk pengadilan di mahkamah.

Ia tuduhan yang amat tidak matang, prejudis, lagi provokatif dan tidak profesional.

Apakah alasan wajar LGE untuk melabelkan PAS adalah musuh kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang?

Adakah kerana PAS tegas mengheret isu pemecatan yang dibuat oleh LGE ini ke kandang mahkamah, sudah layak untuk PAS dikategorikan sebagai musuh?

Amat malang sekali andai LGE memilih untuk bermusuhan, sedangkan umum mengetahui bahawa pemecatan yang dibuat itu adalah suatu perkara keterlaluan.

Bermakna, jika mengemukakan peradilan di mahkamah diertikan sebagai permusuhan, maka dengan sendirinya LGE telah menjustifikasikan tindakan pemecatannya itu sebagai satu kezaliman.

Walhal, pemecatan yang dibuat kepada mereka tidak lebih kerana kegopohan LGE dalam menafsirkan usul yang berlegar sewaktu Muktamar Tahunan PAS Pusat Kali Ke 61 baru-baru ini.

Sekiranya diamati usul dibuat oleh Dewan Ulamak PAS Pusat itu, seharusnya LGE tidak perlu melatah dan tergopoh gapah mengambil tindakan terhadap mana-mana kakitangan PAS yang masih bekerja di dalam pentadbiran negeri.

Apatah lagi Majlis Syura Ulamak PAS sebagai eksekutif tertinggi parti tidak memuktamadkan sebarang pendirian berhubung usul yang dibentangkan itu.

Maka adalah tidak adil LGE bertindak terburu-buru memecat mereka yang terbabit dan menuduh PAS sebagai musuh hanya kerana PAS tampil ke mahkamah menuntut keadilan yang sewajarnya.

Sekiranya LGE betul dan benar dalam tindakan beliau, usah takut dan bimbang terhadap dakwaan yang dibuat.

Sila tampil dengan membawa bukti kukuh bagi menegakkan keadilan terhadap pemecatan tersebut.

Jangan biarkan persepsi bermain dibenak pemikiran rakyat Pulau Pinang bahawasanya LGE dibayangi ketakutan hinggakan sanggup menggelarkan PAS yang masih berada dalam Pakatan Rakyat sebagai musuh.

Perlu diingat Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang tidak akan tertegak jika sekiranya DAP tidak membentuk kerjasama dengan PAS dan PKR.

Usah bongkak dan sombong dengan kemenangan dilakar, sedang kemenangan itu diraih hasil titik peluh para petugas khususnya ahli-ahli PAS yang bertungkus lumus bekerja menentang UMNO-BN. - HARAKAHDAILY 9/7/2015

MOHD YUSNI MAT PIAH
Ketua Penerangan
PAS Negeri Pulau Pinang

Share on Myspace