Najib perlu disiasat dengan telus dan adil

HARAKAHDAILY | .

Wall Street Journal (WSJ) pada 2 Julai telah membuat pendedahan AS$700 juta didepositkan ke akaun Datuk Seri Najib Razak diikuti pendedahan kedua pada 7 Julai dengan mengemukakan sembilan dokumen yang menjadi asas kepada pertuduhan itu dibuat.

Tuduhan ke atas Datuk Seri Najib Razak menjadi lebih berat apabila skandal yang sedang dihadapi beliau ini dikaitkan pula dengan kes pembunuhan Hussain Ahmad Najadi, pengasas Arab Malaysian Banking Group pada 29 Julai 2013.

Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) berpendirian bahawa kedua-dua tuduhan ke atas beliau ini adalah sangat berat menurut kaca mata Islam dan ia melibatkan kepentingan orang ramai dan negara.

Oleh itu, DUPP mendesak supaya:

(i) Datuk Seri Najib Razak menjelaskan keadaan sebenar dan mengemukakan respons konkrit kepada Ahli-ahli Parlimen dengan memanggil sidang khas parlimen sesegera mungkin.

(ii) Suatu Suruhanjaya Siasatan Diraja mesti ditubuhkan bagi menyiasat perkara ini secara adil, telus dan menyeluruh tanpa dipengaruhi oleh pihak-pihak berkepentingan dalam isu ini.

DUPP juga ingin menyatakan sokongan ke atas penglibatan dan kesungguhan banyak pihak dalam membongkar kebenaran dan menuntut keadilan terhadap isu yang sangat berpotensi untuk menggugat negara kita ini pada pelbagai aspek akibat sikap tidak amanah pemimpin.

Pada masa sama, DUPP juga ingin mengingatkan khususnya kepada para pimpinan dan ahli-ahli PAS agar tidak terlalu ghairah membuat andaian dan spekulasi secara tidak berasas kerana dikhuatiri akan mendapat dosa memfitnah dan bagi mengelakkan daripada terperangkap dengan isu yang tidak jelas hujung pangkalnya.

Sewajarnya dan memadai kita menuntut dan terus memberi tekanan agar wujud proses siasatan dan pengadilan yang berintegriti dan berwibawa bagi menyelesaikan isu ini. - HARAKAHDAILY 9/7/2015

DATUK DR MAHFODZ MOHAMED
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat
Tarikh: 9 Julai 2015 / 22 Ramadan 1436H

Share on Myspace