WSJ: Bila PDRM dan SPRM mahu siasat Najib?

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) perlu dilihat lebih berintegriti apabila mengendalikan sesuatu kes berprofil tinggi yang melibatkan Pegawai Tinggi Kerajaan dan tidak hanya bersungguh-sungguh membuat siasatan apabila ia melibatkan pihak pembangkang, demikian tegas Ahli Parlimen Kuala Terengganu Raja Datuk Kamarul Bahrin.

Dalam isu pendedahan The Wall Street Journal (WSJ), beliau melihat berlaku sikap pilih kasih di dalam siasatan yang dijalankan oleh PDRM dan juga kenyataan yang dibuat apabila ia melibatkan individu tertentu yang mana di dalam kes ini adalah merujuk kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

"Gesaan supaya siasatan dibuat ke atas Datuk Seri Najib Razak juga pernah disuarakan oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir yang menyifatkan beliau pernah berbohong mengenai status wang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dikatakan disimpan di BSI Bank di Singapura.

"Bukti-bukti dalam bentuk dokumen yang dikemukakan oleh WSJ dan Sarawak Report perlu dipandang serius oleh SPRM dan PDRM memandangkan ia melibatkan maruah negara dan memberi kesan buruk kepada ekonomi negara yang seterusnya akan memberi impak besar kepada rakyat Malaysia," katanya.

Malangnya kata beliau, Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Khalid Abu Bakar pula akan menyiasat WSJ di bawah Seksyen 4 Akta Jenayah Komputer 1997 berhubung dengan dakwaan yang dibuat.

"Saya melihat kepada setiap kenyataan yang dibuat oleh KPN dan tidak menemui sebarang kenyataan yang menunjukkan bahawa beliau akan turut sama menyiasat Datuk Seri Najib Razak sebagaimana dakwaan yang dikemukakan oleh WSJ bagi memastikan kesahihannya.

"Sehingga ke hari ini tidak ada sebarang siasatan yang telah dijalankan ke atas Datuk Seri Najib Razak oleh pihak PDRM berhubung dengan dakwaan yang dikemukakan oleh WSJ tersebut," jelas beliau.

Dalam masa yang sama juga, menurut Raja Bahrin KPN turut memberi amaran tidak akan membiarkan sesiapa pun mendedahkan maklumat perbankan seseorang individu ataupun mana mana syarikat kerana ini boleh mengancam ekonomi negara dan membawa kepada sabotaj ekonomi dan akan disiasat bawah Kanun Keseksaan dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Sosma) atas kesalahan sabotaj ekonomi.

"Persoalan yang timbul di sini mengapakah KPN beria-ia memberi amaran kepada pihak yang membongkar maklumat kepada WSJ di dalam kes ini sedangkan pembongkaran tersebut adalah melibatkan kepentingan seluruh rakyat Malaysia.

"Adakah amaran ini dibuat bagi tujuan menakut-nakutkan orang ramai supaya pada masa akan datang tidak ada lagi sebarang pembongkaran maklumat yang berkaitan salah laku orang-orang tertentu yang mempunyai kepentingan di dalam kerajaan?" Soal beliau.

Sebelum ini Najib Razak pernah dikaitkan dengan beberapa kes berprofil tinggi seperti kontroversi pembelian kapal selam Scorpene dan kes pembunuhan Atlantuya.

Di dalam kes tersebut, Razak Baginda bekas pembantu rapat Najib Razak telah didakwa bersama-sama dengan dua orang anggota polis elit Sirul Azhar Umar dan Azila Hadri yang juga merupakan pengawal peribadi Najib Razak.

"Tetapi mengapakah Najib Razak tidak pernah dipanggil untuk memberikan keterangan ataupun disoal siasat.

"Adakah ini menunjukkan ada kekebalan tertentu yang beliau miliki? Adakah penghapusan kekebalan kepada Raja Raja Melayu semasa era pentadbiran Tun Dr Mahathir dahulu telah berpindah kepada Datuk Seri Najib Razak pada hari ini?" katanya.

Daripada situasi sekarang ini, beliau berpendapat kekebalan atau hak keistimewaan yang cuba dihapuskan Tun Dr Mahathir tidak pernah terhapus, tetapi cuma berpindah dari institusi Raja Raja kepada pihak eksekutif politik yang sangat berkuasa pada hari ini.

"Keadaan ini juga yang menyebabkan Ketua Polis Negara, Peguam Negara, Pengerusi SPRM dan Gobenor Bank Negara semuanya longlai dan membisu seribu bahasa. Di dalam hal ini, rakyat menjadi pemerhati dan masih menunggu jawapan," tambah beliau. – HARAKAHDAILY 9/7/2015

Share on Myspace