Surat terbuka, mahasiswa dituduh burukkan nama UIAM

| .

 

KUALA LUMPUR: We Unite For Islam (Wufi) mengutuk sekeras-kerasnya tindakan pihak pentadbiran Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menghantar surat tunjuk sebab kepada seorang pemimpin pelajar atas tuduhan memburukkan nama universiti.

Presiden Majlis Perwakilan Mahasiswa UIAM (SRC), Hanif Mahpa menerima surat tunjuk sebab daripada Pejabat Penasihat Undang-Undang (Legal Unit) dan Pejabat Keselamatan (Office of Security and Management) UIAM selepas menulis surat terbuka kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai isu 1MDB.

Surat yang berjudul Surat Kepada YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia: Kenyataan Bersama Isu 1MDB Dan Ketelusan Kerajaan oleh Mahasiswa UIAM itu menggesa Muhyddin mengambil alih kepimpinan negara dengan segera demi keberlangsungan negara.

Pengerusi Wufi, Azzan Aznan berkata, tindakan pentadbiran UIAM itu jelas menunjukkan sikap UIAM yang lebih gemar 'merobotkan mahasiswa' apabila menghalang mahasiswa bersuara mengenai kepincangan pentadbiran negara.

"Pada hemat kami, isi surat tersebut langsung tidak menggambarkan seolah olah pihak pemimpin mahasiswa memburukkan nama universiti. Surat tersebut malahan mendapat sokongan positif daripada pelbagai pihak antaranya ahli akademik dan ahli politik kerana idea yang diusulkan itu sangat konkrit dan tuntas.

"Kami mengajak pihak pentadbiran terutamanya Datuk Mizan Hitam untuk membaca surat tersebut dengan hati yang terbuka tanpa prejudis," kata beliau dalam kenyataan yang turut disokong jurucakap Wufi, Azkar Zahidi.

Justeru beliau menggesa pihak pentadbiran UIAM menarik semula surat tersebut kerana ia akan lebih memburukkan nama universiti.

"Mahukah sekiranya nama UIAM digelar sebagai “Universiti Jadong”?. (Jadong disini bermaksud jahat, bodoh dan sombong)," tegasnya. - HARAKAHDAILY 9/7/2015

Share on Myspace