Kenapa Najib ulangi jawapan syahdu sebegitu rupa?

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Sejak The Wall Street Journal atau WSJ menulis laporan mengenai pengaliran masuk wang 1MDB berjumlah kira-kira AS$700 juta ke dalam peribadi Datuk Seri Najib Razak pada Jumaat lalu, apa yang menimbulkan persoalan ialah mengapa tiada jawapan atau penjelasan yang tepat diberikan mengenai dakwaan itu sehingga ini.

Jawapan Najib hanyalah, "saya tak pernah guna wang 1MDB untuk kepentingan peribadi", "saya tidak akan khianati amanah rakyat", "kalau saya nak menyamun, takkanlah saya guna akaun peribadi" atau ayat lain ala-ala memikat jiwa yang seumpama dengannya.

Semalam, ketika peguam Najib menulis surat kepada penerbit WSJ, Najib sekali lagi menulis di blognya mengulangi perkataan, "saya tak pernah ambil wang 1MDB untuk diri sendiri".

"Kenapa diulang-ulang lagi jawapan syahdu sebegitu rupa?" tanya penulis Shahbudin Husin menerusi tulisan dalam blognya.

Menurutnya, pendedahan WSJ sangat mudah iaitu mengenai kemasukan wang ke dalam akaun peribadi Najib dan jawapan yang seharusnya diberikan juga menjurus ke arah itu.

"Kenapa dijawab "saya tak pernah guna wang 1MDB untuk kepentingan peribadi", "saya tak akan khianati amanah rakyat" dan seumpamanya?" tanya beliau lagi.

Baginya, itu bukan jawapan.

Tambahnya, kalau dalam peperiksaan, jawapan sebegitu tidak mungkin mendapat apa-apa markah pun.

Jawapan sebenarnya, ujar beliau juga sangat mudah, kalau ada wang dimasukkan jawablah "ya" dan kalau tiada pula jawablah "tidak".

Katanya, termasuk hari ini, sudah genap seminggu sejak dakwaan itu ditimbulkan oleh WSJ tetapi masih tiada jawapan yang pasti dan meyakinkan daripada Najib.

Sebab itu, ujarnya jangan marah atau melenting bila Tun Mahathir Mohamad minta Najib menunjukkan buku akaun banknya.

"Ada pula yang menyoal, masa Tun Mahathir jadi Perdana Menteri dulu, pernahkah beliau menunjukkan buku akaunnya?" tulisnya lagi.

Menurutnya, maksud tersirat Tun Mahathir ialah kalau susah sangat nak mengaku "ya" atau "tidak", tunjukkan saja buku akaun bank sebagaimana nombor akaun yang sudah didedahkan oleh WSJ itu.

Beliau menambah, biarlah buku bank berbicara jika mulut dan lidah sudah tidak boleh berkata apa-apa. - HARAKAHDAILY 9/7/2015

Share on Myspace