Tragedi: Para doktor yang kepenatan

IRFAN ES | .

Bayangkan anda menaiki sebuah bas yang pemandunya telah bekerja tanpa henti atau tidur sejak 24 jam lalu. Sanggupkah anda serahkan nasib dan keselamatan diri anda di tangan pemandu tersebut?

Hakikatnya, itulah situasi yang dihadapi oleh golongan doktor di negara ini dan barangkali di seluruh dunia. Di hospital-hospital kerajaan, para doktor bekerja lebih 30 jam tanpa henti semasa bertugas atas panggilan (on-call).

Jadual on-call mereka umumnya seperti berikut:

- Masuk kerja pada jam 8.00 pagi (atau lebih awal) pada hari pertama.
- Selepas jam 5.00 petang, mereka terus bekerja sehingga jam 8.00 pagi esoknya.
- Kemudian terus menyambung kerja seperti biasa dari jam 8.00 pagi sehinggalah 5.00 petang hari kedua (atau lebih lewat).

Paling singkat, seseorang pegawai perubatan bertugas lebih 32 jam bagi satu sesi on-call.

Dan anda menyerahkan nasib, kesihatan serta keselamatan diri anda di tangan seorang insan yang sudah keletihan membanting tulang sepanjang siang dan malam.

Tragedi kemalangan maut yang melanda seorang doktor bius dari Hospital Sungai Buloh dua hari lalu membuka semula perdebatan tentang isu ini. Mangsa memandu pulang dalam keadaan letih dari hospital selepas bekerja lebih 36 jam, sebelum kereta yang dinaiki beliau terbabas. Ibu kepada seorang bayi berusia satu tahun itu mengalami cedera parah di bahagian kepala dan dada. Beliau menghembuskan nafas terakhir di tempat kejadian.

Ini bukanlah kes terpencil. Sebelumnya banyak lagi nahas yang serupa, cuma majoritinya tidak mengakibatkan korban nyawa.

Beberapa dekad sudah berlalu. Namun keadaan kerja para pegawai perubatan masih di takuk lama.

Benar, situasi yang sama berlaku di seluruh dunia. Namun di tempat lain, Kesatuan Eropah misalnya, telah ada peraturan digubal bagi mengehadkan tempoh bekerja doktor dalam seminggu. Sama ada ia dipatuhi atau tidak, itu masalah lain. Yang penting, ada inisiatif awal yang diambil bagi menangani masalah ini.

Ingatlah, doktor juga manusia biasa, yang akan penat dan mengantuk jika bekerja dalam jangka masa terlalu lama. Tidak perlukan kajian mendalam untuk kita memahami sendiri bahawa orang yang dalam keletihan atau mengantuk mungkin lebih cenderung melakukan kesilapan sewaktu menjalankan tugas berbanding mereka yang masih segar dan mendapat rehat secukupnya.

Diharapkan pihak Kementerian Kesihatan dapat mengambil langkah sewajarnya bagi mengehadkan tempoh tugas para pegawai perubatan demi menjamin keselamatan pesakit dan juga doktor itu sendiri.

Al-Fatihah buat Dr Afifah Mohd Ghazi. - HARAKAHDAILY 10/7/2015

Share on Myspace