Puasa tidak halang mangsa banjir bina semula rumah

ASLANI M | .

GUA MUSANG: Sebahagian besar mangsa banjir di Limau Kasturi dan Aring 2 dekat sini terpaksa membina sendiri rumah sementara atau transit selepas rumah asal mereka musnah dibawa arus akhir Disember lepas.

Bagi yang ada sedikit wang simpanan boleh membina rumah kekal di tapak asal, sebaliknya ramai yang hanya membina rumah transit daripada sisa-sisa runtuhan rumah.

Biar pun berpuasa mereka tetap bekerja menyiapkan rumah. Mereka membanting tulang empat kerat selepas hampir tujuh bulan menunggu rumah bantuan kerajaan yang tidak kunjung tiba.

Ketika ditemui petang semalam sebuah keluarga bergotong royong membina semula rumah mereka di tanah milik Kereta Api Tanah Melayu (KTMB) memandangkan tiada lot sendiri.

“Keluarga saya masih lagi tinggal menumpang di kem latihan milik Jabatan Pelajaran Kelantan kerana rumah rosak sama sekali akibat banjir.

“Selepas lebih enam bulan menunggu bantuan daripada mana-mana pihak tidak datang, maka kami terpaksa membina sendiri dengan bantuan keluarga yang tinggal di tempat lain,” kata seorang pemuda.

Beliau tidak menyalahkan mana-mana pihak, biar pun kawasan itu agak terpinggir daripada mendapat bantuan kerajaan. Hanya NGO termasuk Islamic Relief yang membantu membina rumah transit sejak bah surut.

Rumah keluarganya yang dibina bersebelahan stesen kereta api Limau Kasturi musnah sama sekali. Begitu juga rumah Penghulu Mukim Limau Kasturi, Razali Mat Tahir turut menyembah bumi.

Hanya sebuah rumah penduduk dan stesen KTMB yang mampu bertahan dari arus sungai. Rumah lain di sepanjang landasan itu musnah. Sisa runtuhan rumah masih kelihatan sehingga sekarang.

Razali berkata Islamic Relief membina lapan rumah transit kepada mangsa banjir di Limau Kasturi yang tiada lot sendiri.

Selain itu NGO terbabit juga membina semula rumah penduduk daripada sisa runtuhan rumah asal. Sebanyak 50 rumah sementara dibina NGO tersebut.

“NGO berkenaan membayar upah sebanyak RM40 sehari kepada setiap penduduk yang membina rumah mereka. Lima hingga enam orang dibayar upah Islamic Relief bagi menyiapkan pembinaan setiap rumah.

“Kebiasaannya dua hari siap bagi sebuah rumah kecil bagi membolehkan mereka berpindah dari bawah khemah. Biar pun membina rumah sendiri namun NGO itu tetap juga memberi upah,” katanya.

Penyelia Parlimen Gua Musang, Azman Ahmad berkata, kerajaan negeri sudah mengenal pasti penempatan baru bagi memindah mangsa-mangsa banjir yang tiada lot sendiri di Limau Kasturi.

Katanya, projek rumah kekal di penempatan baru itu akan dikendalikan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan.

“Bagaimanapun penempatan baru tersebut perlu disediakan infrastruktur yang melibatkan kos kira-kira RM1.7 juta. Kerajaan negeri sedang berusaha bagi mendapatkan dana daripada kerajaan pusat bagi menyediakan kemudahan asas di situ,” katanya.

Seramai 91 penduduk Limau Kasturi kehilangan rumah akibat banjir besar akhir tahun lepas. Daripada jumlah itu hanya 12 penduduk memiliki geran hak milik secara sah, manakala dua lagi mempunyai resit deposit.

Keadaan serupa juga berlaku di Aring 2 yang terletak kira-kira 25 km dari Pekan Chiku. Sebanyk 13 rumah penduduk di situ dibawa arus Sungai Aring sehingga rumah hanya tinggal tiang dan tangga simen sahaja. Mereka sekarang tinggal di rumah transit. - HARAKAHDAILY 10/7/2015

Share on Myspace