MH17: 'Dia tahu itu ayahnya yang lama tak jumpa'

BERNAMA | .

PUTRAJAYA: Tiada persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri tahun ini bagi balu mangsa tragedi pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH17 yang memilih menghadiri upacara memperingati insiden itu di Amsterdam, Belanda pada 1 Syawal ini.

Isteri kepada pembantu juruterbang MH17, Ahmad Hakimi Hanapi, Sharifah Asma'a Syed Alwi Al Junied, akan bertolak ke Amsterdam pada malam 15 Julai bersama anak tunggalnya, Abderrahman untuk upacara di negara itu pada 17 Julai, tarikh sama dengan sambutan lebaran di negara ini.

"Seperti tahun lalu, tahun ini juga saya tidak membuat sebarang persiapan bagi menyambut Hari Raya...tapi semua itu tidak penting," katanya kepada Bernama dengan nada suara yang positif.

Ketika ditanya mengenai gambaran positif serta bersemangat yang ditunjukkan itu, Sharifah Asma'a berkata: "Syukur Alhamdulillah Tuhan memberikan saya kekuatan untuk meneruskan hidup".

Bercerita lebih lanjut tentang kehidupannya selepas setahun tragedi MH17, Sharifah Asma'a berkata beliau masih mengatur langkah untuk memulakan kembali kerjaya selaku penceramah korporat.

"Saya meninggalkan kerjaya ini selama dua tahun iaitu selepas berkahwin dan mendapat anak untuk memberi tumpuan kepada keluarga, tapi sekarang saya kena bekerja semula," kata lulusan sarjana dalam bidang perhubungan antarabangsa itu.

Berkongsi kisah anaknya, Sharifah Asma'a berkata Abderrahman yang akan mencecah usia dua tahun Oktober ini seolah mengerti ayahnya telah tiada namun tidak pandai meluahkannya.

"Bila dia tengok gambar bersama arwah (Ahmad Hakimi), dia tahu itu ayahnya yang lama tak jumpa, dia macam mencari cuma sebab terlalu kecil tak tahu nak luahkan.

"Tapi syukur Alhamdulillah sebab dia tak banyak karenah setakat ini," katanya.

Sharifah Asma'a juga mengesahkan akan hadir ke majlis memperingati tragedi MH17 yang menghimpunkan waris-waris mangsa di Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, esok.

Pada 21 Jun lalu, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata selain Malaysia, Belanda dan Australia juga akan mengadakan upacara memperingati setahun tragedi MH17 secara berasingan pada bulan ini.

Liow berkata MAS sedia menerbangkan keluarga mangsa ke Belanda untuk menyertai upacara yang diadakan pada 17 Julai ini sekiranya mereka mahu berbuat demikian.

Penerbangan MH17 dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ditembak jatuh di Ukraine pada 17 Julai tahun lepas, mengorbankan kesemua 298 penumpang dan anak kapal termasuk 43 warga Malaysia. - Bernama

Share on Myspace