1MBD: Siasatan perlu bebas, pulihkan integriti negara

HARAKAHDAILY | .

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menggesa persoalan 1MDB yang berlarutan hingga tercetus satu lagi kontroversi yang berkaitan dengan dakwaan Wall Street Journal wujudnya pemindahan sejumlah wang yang sangat besar ke dalam akaun yang didakwa milik peribadi Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak perlu segera diatasi.

Lebih lama isu ini berlarutan, kedudukan negara lebih parah bukan sahaja dari sudut ekonomi namun juga dari sisi imej negara di kaca mata dunia. Kami kesal kerana berbanding jika kontroversi ini berlaku keatas pihak pembangkang, sudah pasti tindakan pantas diambil walaupun hanya berupa spekulasi.

Imej Malaysia dengan pelbagai kontroversi ekonomi dan politik yang berlaku kebelakangan ini sedang berada pada tahap yang meruncing. Kerajaan menghadapi krisis keyakinan yang serius bukan sahaja dikalangan para pelabur dan pengusaha dalam dan luar negara, malah dalam kalangan institusi kewangan, ahli profesional, rakyat akar umbi dan ahli politik.

Rakyat tidak akan lupa pelbagai skandal yang berlaku di negara ini yang berakhir dengan kerugian berbilion ringgit seperti BMF, NFC, Perwaja, PKFZ, Forex, MAS, FGV dan Tabung Haji.

Bagi kami, hanya satu cara sahaja kemelut yang semakin menjejaskan ekonomi dan politik dalam negara ini dapat diredakan iaitu siasatan terperinci dijalankan ke atas dakwaan itu oleh sebuah lembaga yang bebas dari pengaruh kuasa politik mahupun kuasa eksekutif dan seterusnya tindakan yang wajar diambil untuk mendakwa mereka yang terlibat tanpa mengambil kira kedudukan.

Oleh kerana Datuk Seri Najib sebagai Perdana Menteri adalah ketua eksekutif kepada seluruh jentera kerajaan, maka melantik mereka yang berada dalam bidang kuasa arahannya akan menjejaskan kredibiliti pasukan penyiasat.

Mereka yang telah dilantik seperti yang dimaklumkan kepada awam jelas mempunyai kedudukan selaku pegawai kerajaan iaitu Gabenor Bank Negara, Peguam Negara, Ketua Polis Negara dan Pengerusi SPRM yang akhirnya boleh diarah oleh PM secara mutlak.

Jelas isu yang kini sedang menjadi tumpuan seluruh rakyat yang sedang diperhatikan oleh masyarakat dan media dunia, memerlukan proses dan prosidur siasatan yang bebas dan kredibel. Siasatan tersebut tidak boleh mengelakkan dari diteliti dengan dekat oleh para penganalisis bukan sahaja dari golongan ahli politik, malah juga oleh pakar ekonomi antarabangsa.

Betapapun, kini beban bukti sepatutnya dipikul oleh pihak yang menuduh, akan tetapi persoalan demi persoalan mengenai isu ini yang ditimbulkan maseh tidak terjawab dengan memuaskan menyebabkan tanggapan rakyat terhadap kerajaan dan PM semakin negatif.

Malah apabila pokok persoalan isu 1MDB iaitu ke mana pergi berbilion ringgit wang pinjaman agensi itu tidak dijawab oleh pihak kerajaan dan Najib sendiri, maka ia tidak boleh mengelakkan dari munculnya persepsi kecurigaan dan syak mayarakat dan rakyat.

Memang rakyat harus mengelakkan diri dari membuat spekulasi yang boleh menjejaskan kestabilan dan keharmonian negara.

Namun pihak kerajaan juga perlu ingat, bahawa apabila kerajaan gagal menjelaskan pelbagai isu yang muncul, apatah lagi membabitkan berbilion ringgit wang pinjaman yang disalah guna, mahu tidak mahu rakyat akan mempersoalkan ketelusan dan integriti kerajaan.

Kami kesal kerajaan lambat bertindak sejak dari awal agensi 1MDB itu ditubuhkan. Sepatutnya segala kontroversi dari segi operasi dan pengurusan 1MDB tersebut dapat dielakkan jika rasional dan keperluan agensi itu diujudkan difikirkan semasak-masaknya. Hanya kerana ia diletak terus di bawah PM tidak bermakna aspek urustadbir korporat terjamin berjalan dengan baik.

Dari awal penjelasan yang dibentangkan oleh Najib, jelas 1MDB nampaknya hanya berupa sebuah agensi hartanah. Ia membeli tanah kerajaan dengan harga di bawah harga pasaran melalui pinjaman dari sumber luar dan menjualkannya kepada pemaju atau pelabur yang mahu memajukannya dengan harga yang lebih mahal. Dalam erti kata mudah kegiatan spekulasi hartanah. Ia bukan diwujudkan untuk tujuan membangunkan aset.

Kami mendesak agar sebuah pasukan siasatan yang bebas yang terdiri dalam kalangan ahli profesional kewangan dan perbankan, pesara korporat dan pentadbir yang senior untuk dilantik bagi melaksanakan siasatan. Kontroversi sebesar dan serumit ini memerlukan pasukan penyiasat yang bebas untuk menghasilkan rumusan yang kredibel dan berintegriti. - HARAKAHDAILY 11/7/2015

MOHD AZMI ABDUL HAMID
Presiden Mapim

Share on Myspace