Sokong Majlis Syura, tahaluf siasi dengan DAP terbatal

DR RIDUAN MOHAMAD NOR | .

Saya menyokong penuh keputusan mesyuarat Majlis Syura Ulamak (MSU) dalam Isu Hubungan Dengan DAP di mana MSU berpendirian bahawa tahaluf bersama DAP terbatal.

Keputusan ini sangat dinantikan ahli dan penyokong PAS kerana ia rentetan usul yang telah dibawa Dewan Ulamak PAS Pusat pada Muktamar Tahunan PAS ke-61 yang lalu di Kuala Selangor.

Keputusan ini memerlihatkan ketegasan MSU dan harus disokong oleh semua pihak dalam PAS.

Sejak beberapa bulan lalu, DAP bersikap angkuh dengan menghentam PAS khususnya dalam isu Enakmen Kanun Jenayah Syariah yang diluluskan Dewan Undangan Negeri Kelantan dan usul pindaan Akta 355 Akta Mahkamah Syariah oleh Tuan Guru Presiden PAS ke Parlimen.

Sikap DAP yang sentiasa menyerang Presiden dan PAS serta MSU walaupun sebelum ini diakui Pakatan Rakyat memegang persefahaman bahawa 5 peratus perkara yang berbeza antara parti dalam PR tidak harus dibangkitkan dan harus saling menghormati.

Namun tekanan demi tekanan dikenakan DAP ke atas PAS khasnya menjelang muktamar yang akhirnya menjadikan DAP sendiri mengumumkan pakatan tidak wujud lagi.

Berdasarkan senario ini, bahawa MSU telah mengambil pendirian dan kami menyokong penuh kenyataan MSU pada hari ini.

Kenyataan MSU menyebut bahawa PAS terus istiqamah dengan prinsip Islam sebagai rahmat untuk semua yang menegakkan keadilan dan kesejahteraan untuk semua kaum. Oleh kerana itu, PAS konsisten meneruskan hubungan dengan semua pihak menerusi hubungan tahaluf siasi bersama parti politik dan NGO bukan Islam.

Dalam masa yang sama PAS tetap teguh berpegang dengan dasar-dasar Islam ketika berhubung dengan semua pihak.

Namun Majlis Syura Ulamak kesal dengan tindakan-tindakan provokasi berterusan dan keputusan DAP yang mengecam dan melanggar semangat kerjasama Pakatan Rakyat, serta campur tangan dalam aqidah, dasar dan matlamat PAS.

Oleh itu, Majlis Syura Ulamak memutuskan bahawa hubungan tahaluf siasi dengan DAP terbatal. Dalam masa yang sama, PAS mengekalkan tahaluf siasi bersama PKR.

Keputusan ini diserahkan kepada Jawatankuasa Kerja PAS Pusat untuk dilaksanakan menurut kesesuaian dan keperluan politik semasa.

Saya menegaskan sekali lagi sokongan padu kepada kenyataan MSU ini.

Allahuakbar. - HARAKAHDAILY 11/7/2015

Penulis adalah AJK PAS Pusat.

Share on Myspace