Pendirian Majlis Syura Ulamak tepat pada masanya

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: PAS Negeri Pulau Pinang mendukung penuh keputusan Majlis Syura Ulamak (MSU) berhubung isu tahaluf siyasi bersama DAP.

"Pendirian MSU tersebut adalah suatu yang amat wajar dan tepat pada masanya," ujar ketua penerangannya, Mohd Yusni Mat Piah.

Katanya, umum mengikuti rentetan provokasi dan tindakan kurang bijak DAP terhadap PAS hingga mereka sanggup mengenepikan semangat permuafakatan Pakatan Rakyat dan terus menerus menyerang dasar PAS.

Justeru itu, ujar beliau tindakan tegas MSU ini sangat munasabah dan relevan demi menjaga dasar dan manhaj perjuangan yang PAS perjuangkan.

Sebagaimana diketahui, katanya MSU telah menggariskan enam syarat terhadap tahaluf siyasi dan ianya akan terbatal jika salah satu daripada enam syarat tadi dilanggar.

"Sebagai negeri yang terlibat secara langsung dalam pembinaan negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang, sudah pasti keputusan MSU ini akan memberikan kesan kepada ahli dan pentadbiran negeri ini," ujarnya lagi.

Justeru itu, kata beliau PAS negeri menasihati semua ahli agar mendokong penuh keputusan tersebut dan siap sedia menjalankan arahan-arahan yang akan dikeluarkan oleh pimpinan parti.

"Usah bertindak melulu dan terburu-buru tanpa menghiraukan arahan parti.

"Sebaliknya teruslah kita mendukung etika dan adab kita dalam berjemaah iaitu kita dengar dan patuh pada setiap ketetapan yang dibuat oleh pimpinan tertinggi," katanya.

Beliau berharap semoga Allah memberkati keputusan itu yang diputuskan dalam bulan Ramadhan Al-Mubarak dan memberikan kemenangan yang dijanjikan kepada setiap pendukung gerakan Islam.

"Teruskan bergerak memacu kebangkitan Islam di akhir zaman ini," ujarnya lagi. - HARAKAHDAILY 11/7/2015

Share on Myspace